Agong Seru Rakyat Sokong Kerajaan Perkukuh Ekonomi

PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Rabu menyeru rakyat supaya sentiasa menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan ekonomi negara berikutan senario ekonomi dunia masa ini yang diramalkan tidak menentu.

Seri Paduka bertitah rakyat tidak boleh alpa dan perlu sentiasa komited untuk terus bekerja dan berusaha dengan gigih.

Baginda bertitah keadaan ini berikutan kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun serta tekanan inflasi akibat kenaikan harga komoditi, krisis hutang negara Eropah dan juga perdagangan dunia yang lebih perlahan.

"Beta melihat suasana global ini tentunya memberi impak langsung ke atas ekonomi Malaysia.

"Justeru seluruh rakyat Malaysia termasuk warga Wilayah Persekutuan perlulah sentiasa komited untuk terus bekerja dengan penuh iltizam dan sentiasa menyokong usaha-usaha kerajaan mengukuhkan ekonomi negara," titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Istana Melawati sini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Dalam titah baginda, Tuanku Abdul Halim turut meminta rakyat berbilang kaum untuk terus memupuk dan memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama bagi memastikan kemakmuran dan keamanan yang dikecapi hari ini dapat dikekalkan.

Baginda juga melahirkan rasa sukacita dengan Kuala Lumpur yang membangun dengan pesat dan berada di atas landasan yang tepat menuju pencapaian status bandaraya bertaraf dunia dan menjadi antara senarai 20 bandaraya paling sesuai didiami menjelang 2020.

Seri Paduka juga berharap Wilayah Persekutuan Labuan akan terus berkembang menjadi hab halal bagi produk berasaskan keluaran laut dan hab logistik bagi minyak dan gas, selain menumpukan usaha menjadikannya sebagai destinasi pelancongan terkemuka dunia.

"Demikian juga dengan Wilayah Persekutuan Putrajaya. Selain menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Beta merasa gembira kerana Putrajaya telah mengorak langkah menuju matlamat menjadi bandaraya yang mampan dan makmur demi kesejahteraan seluruh warganya"..

Tuanku Abdul Halim percaya pelbagai usaha yang sedang dijalankan kerajaan akan memenuhi matlamat menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah yang maju dan makmur ke arah mencapai kehidupan yang berkualiti dan sejahtera.

Terdahulu pada istiadat itu, baginda berkenan menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat Wilayah Persekutuan sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 kepada 279 penerima.

Antara penerima ialah Yang Dipertua Persatuan Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Tan Sri Abu Hassan Omar yang dikurniakan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar yang turut menerima SUMW, bagaimanapun tidak hadir pada istiadat hari ini kerana sedang melakukan lawatan kerja ke London dan dijadual pulang ke tanah air Khamis ini.

Selain itu lima penerima Darjah Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri pula ialah Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ahmad Kabit, Pengerusi KUB Malaysia Berhad Datuk Seri Abdul Halim Abdul Samad, Ketua Jabatan Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong Ten Soo dan Timbalan Presiden Persatuan Bagi Orang-Orang Buta Malaysia Datuk Seri Mohamed Iqbal Kuppapitchai Rawther.

Seramai 34 orang dianugerah Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, 30 penerima Johan Mahkota Wilayah (JMW), 74 penerima pingat Ahli Mahkota Wilayah (AMW) dan 84 lagi menerima pingat Pangkuan Mahkota Wilayah (PPW). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Klik

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Artikel Lain