suria

28 Orang Mati Lemas Di Pahang Dari 2008 Hingga Januari Lalu

KUANTAN: Sebanyak 28 orang dilaporkan mati lemas di pantai-pantai di Pahang dari 2008 hingga Januari lepas.

Berikutan keadaan itu, polis dan agensi berkaitan akan mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan pantai di Pahang bagi membendung kejadian mati lemas yang dilihat semakin membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof berkata polis juga berharap Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) menyediakan pasukan penyelamat pantai terlatih di pantai-pantai tumpuan.

"Bulan Januari sahaja, seramai enam orang terkorban, lima daripadanya lemas di pantai Sepat dan berdasarkan statistik dari 2008 hingga Januari lepas, sejumlah 28 orang lemas," katanya ketika memberi taklimat berkenaan kes mati lemas di Pahang pada Mesyuarat Penuh MPK, di sini Rabu.

Beliau berkata polis akan mengadakan rondaan dan pemantauan secara bersepadu di pantai membabitkan agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Rela, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Pejabat Daerah.

"Pantai-pantai tumpuan yang akan dilakukan rondaan dan pemantauan ialah pantai Cherating, Sepat, Balok, Teluk Chempedak dan Batu Hitam," katanya dan menurutnya papan tanda amaran juga akan dipasang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain