suria

JPAM Disaran Wujud Program Tarik Minat Bukan Melayu

BUTTERWORTH: Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) disaran mengatur program dan strategi menarik bagi menambah bilangan anggota bukan Melayu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, langkah itu perlu memandangkan nisbah penglibatan orang bukan Melayu dalam JPAM masih rendah berbanding orang Melayu.

"Ini kerja sukarela, adakalanya terdapat kekangan dari segi masa atau masih ada yang tidak tahu tentang JPAM, oleh itu usaha perlu dilakukan untuk memperkenalkan JPAM dan manambah penyertaan orang bukan Melayu," katanya kepada pemberita selepas penyampaian pingat pertahanan awam, di sini Selasa.

Beliau memberi contoh penyertaan bukan Melayu dalam JPAM di negeri ini yang hanya berjumlah 3,828 orang berbanding Melayu seramai 14,078.

Katanya, JPAM juga perlu berusaha menimbulkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan awam dan tugas menjaganya dipikul oleh semua bangsa.

Setakat ini, jumlah anggota tetap JPAM di seluruh negara ialah 1,182 orang, manakala anggota sukarela pula sekitar 390,000. Namun daripada jumlah itu hanya kira-kira 194,000 yang aktif.

Mengulas isu berkaitan, Abu Seman berharap pindaan Akta Pertahanan Awam 1992 dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Mac ini.

"Antara lain pindaan ini mengkhususkan kepada pengkhususan tugas dan kuasa-kuasa pegawai JPAM. Tugas anggota JPAM ini universal dan ia sama sahaja di mana-mana negara pun," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain