suria

Najib Rasmi Laluan Pejalan Kaki Dari KLCC Ke Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Sabtu, membuka secara rasmi laluan pejalan kaki yang menyediakan hubungan terus dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) ke Bukit Bintang, menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada orang ramai untuk berjalan antara dua lokasi pelancongan dan runcit utama itu.

Hadir di majlis perasmian itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Senator Datuk Raja Nong Chik Datuk Raja Zainal Abidin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Ahmad Fuad Ismail, Naib Presiden Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) (Perniagaan Gas & Kuasa) Datuk Anuar Ahmad, Pengerusi KLCC (Holdings) Sdn Bhd (KLCCH) Harry Menon dan Ketua Eksekutif Kumpulan KLCCH Group Hashim Wahir.

Laluan pejalan kaki bertingkat yang berhawa dingin sepanjang 562 meter dan selebar lima meter itu merentasi kawasan sibuk di Jalan Pinang, Jalan Perak dan Jalan Raja Chulan dengan pintu masuk dan pintu keluar tangga bergerak dan tangga di lokasi strategik.

Dibangunkan secara berfasa, laluan bertingkat itu membentuk sebahagian besar daripada laluan pejalan kaki sejauh 1.173 km menghubungkan KLCC ke Bukit Bintang.

Laluan itu menghubungkan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur ke Impiana KLCC Hotel dan hotel itu ke lintasan jambatan Pavilion di Bukit Bintang.

Bahagian lain terdiri daripada terowong pejalan dari aras dataran pusat konvensyen itu yang kini menghubungkan ke terowong sedia ada ke pusat membeli belah Suria KLCC.

Dengan laluan itu, orang awam kini boleh berjalan kaki dari Bukit Bintang dan Stesen Monorel Raja Chulan ke Stesen LRT KLCC - menerusi Suria KLCC - dalam suasana yang selesa dengan terowong dan laluan berbumbung dan berhawa dingin.

Bagi golongan kurang upaya, mereka boleh masuk dan keluar ke laluan itu menerusi lif khas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Pembinaan laluan pejalan kaki dan terowong itu dibiayai dana RM100 juta yang disediakan oleh PETRONAS sebagai sebahagian daripada sumbangan sosialnya.

Projek itu merupakan sebahagian daripada siri laluan pejalan kaki untuk menghubungkan Laluan Runcit dan Pelancongan antara KLCC dan Bukit Bintang di bawah Inisiatif Rangkaian Pejalan Kaki Komprehensif Bidang Ekonomi Utama Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang kerajaan.

Matlamat inisiatif itu adalah untuk menggalakkan lebih ramai penduduk Malaysia menggunakan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dengan menyediakan laluan pejalan kaki yang selamat dan selesa untuk bergerak antara satu tempat ke tempat lain semasa mereka berada di ibu kota.

Projek itu dimajukan oleh KLCCH, anak syarikat PETRONAS secara kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Laluan pejalan kaki dan terowong itu juga melengkapkan pelan komprehensif bagi laluan hubungan pejalan kaki yang merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pembangunan KLCC. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain