suria

Adam Adli: KPT Tak Terlibat, Rayu Kepada Universiti

PETALING JAYA: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, aktivis pelajar Adam Adli yang digantung tiga semester oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) perlu mengemukakan rayuan kepada pihak universiti bukan kepada pihaknya.

Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak terlibat dan tidak campur tangan dalam hukuman penggantungan pelajar terbabit.

"Tindakan itu diambil melalui peraturan universiti, bukan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Mereka perlu tunjukkan dan menjaga imej dan kredibiliti universiti dalam peraturan universiti dengan Aku Janji pelajar," katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2012 yang bertemakan "Berfikiran Global Bertindak Lokal" yang diadakan di Putrajaya pada Khamis.

Mohamed Khaled berkata, dalam kes Adam Adli, UPSI berpendapat tindak-tanduk pelajarnya itu sebagai menjatuhkan imej universiti dan atas sebab itulah mereka mengambil tindakan mengantung pengajiannya selama tiga semester.

"Maka jawatankuasa tatatertib jatuhkan hukuman dan saya tidak terlibat. Apa pun yang berlaku, perlu dirujuk dengan pihak universiti," jelasnya.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut diminta mengulas tentang kaitan menurunkan bendera wajah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kebebasan akademik dan dalam konteks ini beliau menjawab:

"Itu adalah hak universiti (untuk menjatuhkan hukuman di atas tindak-tanduk Adam). Peraturan universiti kata tak boleh cemar nama baik dan reputasi."

Pada Rabu, Adam Adli dalam satu kenyataannya kepada akhbar Sinar Harian berkata, dia akan membuat rayuan kepada Mohamed Khaled berhubung penggantungan pengajiannya selama tiga semester.

Adam Adli menjelaskan, mahasiswa patut diberi ruang bersuara mencari keadilan yang sebaiknya, bukan dibantah sekeras-kerasnya dengan cara yang sedemikian.

Artikel Berikut

3,996 Calon Lulus STAM 2011

Artikel Lain