suria

Ahli Perniagaan Dirompak Lebih RM200,000 Di George Town

GEORGE TOWN: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk kerugian lebih RM200,000 apabila dirompak oleh empat lelaki bersenjatakan parang dan pisau yang memecah masuk kediamannya di Jalan Kebun Bunga di sini awal pagi Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Zahruddin Abdullah berkata pada kejadian pukul 3.30 pagi itu, kumpulan perompak yang dipercayai warganegara asing terbabit mengumpil tingkap belakang dan menyelinap masuk ke dalam bilik anak mangsa sebelum mengikatnya.

Mereka kemudian memasuki bilik tidur utama dan mengejutkan ahli perniagaan itu bersama isterinya yang sedang tidur sebelum mengikat tangan dan kaki kedua-duanya.

"Kumpulan perompak terbabit yang dikatakan menutup separuh muka mereka dengan kain turut mengikat pembantu rumah dan rakan anak mangsa yang sedang tidur di bilik berasingan sebelum mereka menggeledah rumah itu dan melarikan wang tunai, barangan kemas dan jam pelbagai jenama berjumlah RM200,000 dalam masa kira-kira 15 minit sahaja," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Ahli perniagaan berkenaan kemudiannya berjaya melepaskan ikatan selepas 30 minit perompak itu melarikan diri, dan menghubungi polis.

Zahruddin berkata polis yakin dapat menyelesaikan kes ini dalam waktu terdekat ekoran terdapat imej kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kesemua perompak yang berumur lingkungan 20-an dan 30-an itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan bagi rompakan berkumpulan dan rompakan dengan bersenjata yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada 20 tahun dan sebatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Wanita Maut Kenderaan Terbabas Di LPT

Artikel Berikut

Artikel Lain