suria

TUDM Perkenal Program Teknologi Penerbangan Untuk Sekolah Menengah

TEMERLOH: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan program berkaitan teknologi tinggi penerbangan kepada pelajar sekolah menengah.

Panglima TUDM Jen Tan Sri Rodzali Daud berkata program itu bertujuan memupuk minat pelajar dalam teknologi aeroangkasa dan penerbangan seperti pengendalian pesawat dan radar.

"Program iini perlu didedahkan kerana mereka yang akan mengendalikan teknologi tersebut di masa depan, terutamanya yang berkaitan perkembangan dunia digital yang kini semakin meluas digunakan dalam industri penerbangan, pertahanan udara dan radar.

"Ini merupakan tanggunjawab sosial TUDM bagi membentuk kemahiran pelajar menguasai dan mengendalikan teknologi tinggi aviasi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Khidmat Negara Kumpulan 1 Siri 9/2012 di Kem PLKN Arena Resort, di sini, Jumaat.

Rodzali berkata program itu akan dijalankan di sekolah terpilih yang terletak berhampiran dengan Pangkalan Udara TUDM di seluruh negara dalam tempoh terdekat.

Katanya melalui program itu juga pelajar yang menunjukkan minat untuk menyertai kerjaya bersama TUDM akan dipilih melanjutkan pelajaran di Universiti Pertahanan Negara (UPN).

"Program ini membuka peluang terbaik bagi mereka yang berminat menyertai TUDM.

"Kami akan menyimpan maklumat peribadi mereka dalam pangkalan data dan apabila lulus cemerlang mereka akan ditawarkan melanjutkan pelajaran di UPN," katanya yang berharap program tersebut dapat memupuk minat generasi muda menyertai TUDM suatu hari kelak.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain