suria

Amalan Kitar Semula: Putrajaya Kekal Tempat Teratas

PUTRAJAYA: Putrajaya terus kekal tempat teratas berbanding negeri lain dari segi amalan kitar semula, sekaligus menjadikan matlamat bandar itu sebagai peneraju amalan kitar semula tercapai.

Presiden Perbadanan Putrajaya Tan Sri Samsudin Osman berkata, kejayaan itu berdasarkan peningkatan penyertaan penduduk sebanyak 22 peratus tahun lepas berbanding 10.4 peratus tahun sebelumnya.

"Jumlah kutipan 2011 itu menunjukkan purata kutipan sebanyak 4.2 tan sehari iaitu lebih kurang sepuluh peratus daripada berat sisa pepejal yang dikutip setiap hari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Kitar Semula peringkat Putrajaya di sini, Ahad.

Amalan kitar semula diperkenalkan pada 2004 dan sejak itu Putrajaya mengatasi Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

Samsudin berkata berdasarkan rekod pengumpulan sepanjang 2011 kutipan bahan jenis kertas adalah paling tinggi dengan mencatatkan sebanyak 1,239 tan selebihnya 169 tan adalah daripada jenis plastik, besi, kaca, aluminum dan sebagainya.

Beliau berkata, kutipan terbesar diperolehi daripada bangunan kerajaan dan swasta diikuti dengan hasil pengumpulan tiga pusat kitar semula tetap iaitu di Presint 8, 9 dan 16 termasuk hasil kutipan pusat kitar bergerak, kawasan perumahan, sekolah serta lain-lain tempat. - BERNAMA

Artikel Lain