suria

[V] Dijanjikan gaji lumayan dan jawatan tinggi, Ezaidi Aziz hampir jadi mangsa orang ternama

MEMILIKI rupa paras menawan membuatkan pelakon Ezaidi Aziz sering menjadi perhatian ramai, bukan sahaja dalam kalangan wanita, malah lelaki berstatus suami.

Berkongsi perkara itu, Ezaidi atau nama penuhnya Mohamad Ezaidi Abdul Aziz, 30, mendedahkan dia pernah berdepan pengalaman tidak menyenangkan apabila ditawarkan wang serta jawatan tinggi oleh individu berpengaruh yang didakwa mempunyai niat terselindung.

Menurut Ezaidi, perkara seperti itu seakan-akan sudah menjadi kebiasaan dalam industri hiburan terutama sekiranya mahu hidup senang dengan mudah.

Ezaidi anggap kejadian yang berlaku adalah pengajaran buatnya.

"Saya rasa zaman sekarang perkara ini sudah dinormalisasikan. Ada yang sudah kahwin pun lalui perkara sama. 

"Daripada pengalaman saya sendiri dalam industri seni ini, bukan sekadar diganggu tapi lebih ditawarkan sesuatu yang lumayan daripada orang ternama dan berduit," katanya kepada mStar.

Mengimbau kembali kejadian tersebut, Ezaidi berkata individu berkenaan pada awalnya menggunakan alasan tawaran pekerjaan untuk mendekatinya memandangkan dia masih muda dan mahu mencari pendapatan lebih ketika itu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Ezaidi Aziz sudah bergelar suami, pilih kawan lama sebagai pasangan hidup

ARTIKEL BERKAITAN: Ezaidi Aziz mahu dapat keberkatan dalam rezeki, elak perkara dilarang agama ketika berlakon

Namun situasi menjadi semakin pelik apabila dia diminta untuk sentiasa menemani individu tersebut ke mana-mana sahaja, termasuk diajak pulang ke rumah.

"Ketika itu saya masih muda lagi dan individu ini tawarkan saya bekerja.  Bila orang tawarkan jawatan tinggi saya fikir ia peluang cari duit lebih jadi saya pun terima. 

"Tapi bila tengok dia punya job scope itu lebih kepada macam tak kena, menyimpang daripada tujuan asal. Sampai kena ikut balik rumah. Cara dia cakap pun nampak lain, mula-mula profesional.

Saya takut perkara ini terjadi dekat orang lain pula.

EZAIDI AZIZ

PELAKON

"Selepas terima surat tawaran dan tandatangan, dia terus bagi wang tunai dalam jumlah besar. Tapi tak sampai beberapa hari saya berhenti, saya anggap ia sebagai satu pelajaran," luahnya.

Bagaimanapun, Ezaidi menegaskan pendedahan itu bukan bertujuan membuka aib sesiapa, sebaliknya sebagai peringatan agar orang lain tidak terjerat seperti dirinya.

"Bukan nak buka buruk orang, tapi saya takut perkara ini terjadi dekat orang lain pula," luahnya.

Dalam pada itu, Ezaidi turut mengakui masih menerima gangguan daripada individu tertentu, namun situasi tersebut semakin terkawal selepas dia mendirikan rumah tangga.

Ezaidi semakin bijak tapis tawaran tak munasabah.

Ezaidi berkata dia dan isterinya saling mengingatkan antara satu sama lain kerana menyedari hati manusia mudah berubah.

“Sekarang lepas kahwin, cuma kacau-kacau macam itu saja. Saya banyak luangkan masa dengan isteri dan dia selalu ingatkan saya.

“Saya selalu pesan pada dia, kalau nampak saya lain, tegur. Manusia ini hati berubah-ubah, kadang kita cakap lebih-lebih tentang orang lain, tak sedar boleh berbalik pada diri sendiri,” ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain