suria

Kastam Kesan Syabu Disembunyi Dalam Botol Bedak

SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia menggagalkan cubaan seorang wanita warga Iran menyembunyikan dadah jenis syabu seberat 6.05 kilogram bernilai RM1.5 juta termasuk di dalam botol bedak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, Rabu lepas.

Pengarah Kastam KLIA Datuk M.Govinden berkata apabila pegawai kastam bertugas memeriksa dua buah beg yang dibawa wanita berusia 57 tahun itu dan setelah diimbas, mendapati ia menunjukkan imej meragukan.

"Setelah diperiksa, didapati di dalamnya mengandungi dadah jenis syabu yang mana disorokkan antaranya di dalam botol bedak, bekas makanan dan juga peket serbuk minuman," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Menurut Govenden, wanita tersebut kini ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Sementara itu, beliau berkata kastam merampas dadah seberat 10.2 kilogram bernilai RM2.5 juta di KLIa pada 1 Jan lalu dan menahan dua lelaki warga Eropah dan seorang lelaki warga Morocco berusia 30 hingga 40an.

Menurutnya ketiga-tiga mereka telah menggunakan taktik menukar beg yang dibawa mereka antara satu sama lain namun dengan kecekapan pegawai Kastam, dadah yang disembunyikan dapat ditemui. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain