suria

Sistem E-FEIS Cegah Penipuan Selenggara Alat Pemadam Api

ALOR SETAR: Pemeriksaan alat pemadam api secara elektronik (e-FEIS) akan dilaksanakan sepenuhnya mulai Jun depan bagi mencegah berlakunya penyelewengan, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelemat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim.

Beliau berkata sistem pemeriksaan berkenaan dibangunkan pihaknya bertujuan mengelak kontraktor yang dilantik gagal menyelenggara alat pemadam api dan ada alat yang tidak dipulangkan setelah diperiksa.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Sistem Elektronik Pemeriksaan Alat Pemadam Api (e-FEIS) Zon Utara di sini Selasa, Wan Mohd Nor berkata pihaknya tidak mempunyai laporan lengkap mengenai kontraktor yang terlibat.

Beliau berkata pada waktu yang sama pihaknya juga tidak mengetahui sama ada kontraktor berkenaan mempunyai kepakaran serta peralatan lengkap bagi melakukan penyelenggaraan terhadap alat pemadam api.

"Sebelum ini kita ada menerima aduan orang ramai mengenai kontraktor yang gagal menyelenggara alat pemadam api serta tidak memulangkan alat pemadam api yang diperiksa," katanya.

Wan Mohd Nor berkata melalui sistem baru ini pihaknya akan mengeluarkan resit yang mempunyai rekod bercetak dengan komputer atau 'barcode' untuk dilekatkan pada alat pemadam api bagi mengelak penipuan yang berlaku sebelum ini kerana ia bertulis tangan.

Beliau berkata terdapat kira-kira tiga juta alat pemadam api di seluruh negara yang diselenggara oleh 2,000 kontraktor yang dilantik.

Menurutnya, melalui sistem berkenaan kontraktor terlibat akan berdaftar di laman sesawang yang disediakan dan seterusnya pihak jabatan akan melakukan pemantauan di semua premis kontraktor bagi mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.

"Tindakan membatalkan pendaftaran akan dibuat sekiranya pihak kontraktor tidak mematuhi syarat telah ditetapkan jabatan itu bagi membolehkan mereka yang layak sahaja melakukan tugas penyelenggaraan," katanya.

Wan Mohd Nor berkata melalui sistem ini, segala temu janji dan pembayaran dibuat atas talian sekaligus dapat menjimatkan masa dan pemeriksaan pula dapat dibuat dalam kuantiti yang banyak setiap hari.

Pada seminar itu kira-kira 300 kontraktor penyelenggaraan alat pemadam api dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak hadir bagi memahami dengan lebih lanjut cara sistem tersebut dikuatkuasakan. - BERNAMA

Artikel Lain