suria

KPDNKK N. Sembilan Rampas Diesel Subsidi Bernilai RM27,000

SEREMBAN: Pihak penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Sembilan merampas 4,000 liter diesel bersubsidi bernilai RM27,000 dari sebuah stor di Taman Seremban Selatan dekat sini, Isnin.

Tiga lelaki berumur sekitar 30-an turut ditahan berhubung rampasan itu pada tengah hari Isnin.

Pengarah KPDNKK Negeri Sembilan, Mohd Talal Abu Bakar berkata, minyak itu ditemui di simpan di dalam beberapa tong drum di stor tersebut.

"Stor itu dipercayai digunakan untuk penyimpanan dan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi. Dalam serbuan itu terdapat juga sebuah lori tangki dengan muatan 10,920 liter yang sedang memindahkan diesel bersubsidi untuk dihantar kepada pihak ketiga," katanya.

Beliau berkata, rampasan itu dilakukan hasil intipan pihaknya sejak seminggu lalu.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan, hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan ke atas individu yang terlibat, manakala bagi syarikat pula dendanya tidak melebihi RM250,000. Dalam satu lagi kes berasingan, 500 liter diesel bernilai RM900 turut dirampas dalam satu tangki khas yang diubah suai di sebuah lori.

Rampasan dilakukan di sebuah stesen minyak di Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut dekat sini malam Ahad.

"Dalam kes ini kesalahannya adalah kerana memiliki diesel bersubsidi secara tidak sah. Lori yang ditahan didapati diubah suai di mana di atas tangkinya diletakkan jerami tandan kelapa sawit untuk mengaburi pihak berkuasa.

"Siasatan awal mendapati minyak diesel berkenaan diperolehi daripada beberapa stesen minyak di sekitar Seremban.

"Minyak diesel tersebut kemudian akan dijual pada industri mengikut harga industri iaitu RM2.50 sen seliter," kata Mohd Talal.

Pemandu lori berkenaan yang berusia 24 tahun ditahan untuk disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. - BERNAMA

Artikel Lain