suria

BN Yakin Menang 23 Kerusi DUN Di Kelantan Pada PRU-13

BACHOK: Barisan Nasional (BN) Kelantan mempunyai peluang untuk merampas pemerintahan negeri ini daripada PAS dengan sekurang-kurangnya memenangi 23 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia berdasarkan kehendak terkini rakyat Kelantan yang inginkan perubahan.

"(Peluang) ini berasaskan sambutan terhadap program yang dianjurkan B Nmendapat sambutan yang luar biasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan anggota Jawatankuasa Umno bagi peti undi Kampung Kandis di sini, Ahad.

Turut hadir lebih 200 penduduk kampung itu dan Timbalan Menteri Kewangan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata rakyat yang inginkan perubahan itu, kecewa dengan kepimpinan PAS sekarang yang gagal membangunkan negeri itu walaupun diberi peluang memerintah lebih 21 tahun.

Beliau berkata jika diberi peluang memerintah Kelantan, BN berjanji akan berusaha menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

Katanya masalah berkenaan seperti bekalan air yang semakin meruncing, isu kemiskinan, jalan, ladang rakyat, bazar Tok Guru dan penghijrahan ratusan ribu rakyat mencari peluang pekerjaan di luar Kelantan.

"Kita juga berjanji akan memerintah dengan lebih baik dan telus dan mana-mana yang tidak betul dalam sepanjang pemerintahan PAS akan diperbetulkan," katanya.

Mengenai barisan calon BN pada pilihan raya umum akan datang, Mustapa berkata hanya mereka yang mampu melaksanakan wawasan Perdana Menteri akan diberi keutamaan untuk bertanding. - BERNAMA

Artikel Lain