suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Tiada lagu popular, Rezza Shah enggan mengalah demi ibu bapa - “Rugi untuk putus asa“

Rezza cari karya terbaik untuk karya akan datang.

PENYANYI Rezza Shah tidak pernah patah semangat meskipun akur lagu-lagu nyanyiannya belum mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat muzik tempatan.

Bagi Rezza, 26, dia tidak mahu menoktahkan perjuangan dalam bidang seni selain menghampakan kedua-dua ibu bapa yang banyak memberi sokongan sejak awal pembabitan.

"Betul, saya belum ada lagu yang mendapat sambutan luar biasa. Masih lagi mencari-cari formula untuk dapatkan lagu yang betul-betul buat pendengar jatuh cinta. Selama ini orang mungkin kenal Rezza Shah, tapi tak tahu lagu saya.

Rezza tidak mahu kecewakan harapan ibu dan bapanya. 

"Ada juga rasa kecewa, sebagai manusia itu perasaan biasa. Tetapi kalau fikirkan semula perjuangan sejak kecil rasa rugi untuk putus asa.

"Saya yang pilih jalan ini, jadi kena lakukan dengan bersungguh. Ibu bapa saya juga banyak beri sokongan, jadi tak mahu hampakan mereka," katanya kepada mStar.

Rezza sebelum ini tampil dengan lagu berjudul Mungkin yang dilancarkan sekitar tahun 2025.

ARTIKEL BERKAITAN: Rezza Shah cari pengurus baharu, siap letak syarat dan kriteria... “Tak mahu kaki raba, songlap duit” 

ARTIKEL BERKAITAN: Rezza Shah serik sertai pertandingan nyanyian, kecaman hebat OIAM tinggalkan impak

Dia juga pernah menyertai program One In A Million pada tahun sama namun tersingkir di konsert minggu keempat.

Terus mengatur langkah, Rezza juga berani memberi kelainan dalam pemilihan muzik yang sedang dirancang.

"Saya akan tampil dengan sebuah band untuk lagu-lagu akan datang. Rezza Shah tetap masih ada cuma tambah kolaborasi bersama band dan genre berbeza.

Rezza berani beri kelainan dalam lagu baharu. 

"Dalam perancangan sekarang, selain lagu baharu saya mahu tampil dengan mini album," kongsinya.

Bagi melancarkan lagi kerjaya nyanyian, Rezza juga sebelum ini berkongsi satu hantaran di laman Threads mencari pengurus baharu.

"Bila nak tampil dengan kumpulan nanti, saya harap ada pengurus yang boleh bantu mempromosikan kami. Bukan mudah nak uruskan sebuah kumpulan.

"Dalam masa sama saya harap kerjaya seni lebih teratur. Sebelum ini ada beberapa tawaran saya terlepas kerana menguruskan kerjaya sendiri bersama seorang pengurus sambilan," jelasnya.

Artikel Lain