PENYANYI dan pelakon Rezza Shah mengambil keputusan untuk tidak lagi menyertai sebarang pertandingan nyanyian buat sementara waktu selepas menerima kecaman hebat ketika menyertai program One In A Million (OIAM) pada awal tahun ini.
Rezza, 23, berkata pengalaman tersebut memberi impak besar hingga membuatkannya serik, selain merasakan penonton juga sudah jemu melihat kelibatnya dalam pelbagai program realiti sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya dah tak nak masuk mana-mana pertandingan nyanyian sebab dah serik.

Rezza merasakan penonton sudah bosan melihat wajahnya di pertandingan nyanyian.
“Saya rasa cukuplah, mungkin dalam tempoh lima tahun ini saya tak akan sertai apa-apa pertandingan. Isu OIAM dulu beri kesan yang kuat pada saya.
“Lagipun saya dah banyak sangat masuk pertandingan, mungkin ramai pun dah bosan tengok muka saya,” katanya kepada mStar.
Ketika masih menyertai program realiti itu, Rezza didakwa mempunyai masalah disiplin selepas dilaporkan lewat menghadiri sesi persediaan bersama pihak produksi serta kelas tarian.
Selain OIAM, Rezza yang menyanyi sejak usia lapan tahun telah menyertai beberapa program realiti hingga berjaya bergelar Juara Bintang Kecil RTM dan Naib Juara Ceria Mega Star Astro serta layak ke separuh akhir Bintang RTM.
Bagaimanapun, Rezza tidak menutup sepenuhnya pintu hati untuk kembali, terutama jika format pertandingan itu berbeza daripada yang pernah disertainya sebelum ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Rezza Shah tangguh hasrat ke Indonesia, mahu keluar dari zon selesa
ARTIKEL BERKAITAN: Rezza Shah hati-hati pilih pengurus, enggan pisang berbuah dua kali
“Tengoklah macam mana, kadang-kadang hati ini berbolak-balik juga nak masuk ke tak.
“Tapi mungkin kalau secara berkumpulan? Atau format pertandingan itu lain daripada yang saya pernah sertai,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Rezza turut berkongsi mengenai sebuah projek istimewa yang bakal memberi warna baharu dalam perjalanan kerjaya muziknya.

Rezza bakal tubuhkan sebuah band tidak lama lagi.
Jelas Rezza, dia kini dalam persiapan untuk muncul dengan sebuah kumpulan muzik tidak lama lagi.
“Saya nak beritahu, selepas ini saya akan bergerak secara band atau berkumpulan.
“Cuma saya tak boleh dedahkan lebih lanjut buat masa ini. Sekarang saya masih solo, tapi projek band ini memang istimewa. Anggotanya sekitar lima atau enam orang,” katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


