LAMA menyimpan hasrat untuk melebarkan kerjaya ke negara jiran, pelakon dan penyanyi Rezza Shah menganggap impian tersebut bukanlah sekadar angan-angan kosong.
Meskipun masih baru dalam industri seni di Malaysia, bagi Rezza, 23, dia perlu mencabar diri untuk mencari sesuatu yang berbeza.
"Saya seorang yang sentiasa mahu keluar dari zon selesa. Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu kerana yakin di tempat orang cara dan budaya mereka berbeza.

Rezza harap bakatnya dapat diterima di Indonesia.
"Mungkin rezeki saya tidak di sini, tapi di sana. Saya boleh belajar banyak perkara jika lebarkan sayap ke sana," katanya kepada mStar.
Sebelum ini Rezza pernah berkongsi mahu mencari peluang untuk bekerjasama dengan komposer Indonesia selain mencuba berlakon di negara berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Rezza Shah hati-hati pilih pengurus, enggan pisang berbuah dua kali
ARTIKEL BERKAITAN: Tiada lagi pengurus, Rezza Shah atur karier seni sendiri... Tak kecil hati orang kata dah ‘sendu’
Namun hasrat tersebut terpaksa dipendam buat seketika selepas berlaku masalah melibatkan dirinya bersama bekas pengurus.
"Bekas pengurus saya yang rancang sebelum ini, jadi apabila kami tidak bersama maka terpaksa saya tangguhkan dahulu. Buat masa sekarang fokus kerjaya dalam negara.
"Saya sedar bukan mudah untuk masuk pasaran Indonesia. Jadi untuk ke arah itu saya juga ada berhubung dengan beberapa kenalan di sana.
Saya boleh belajar banyak perkara jika lebarkan sayap ke sana
REZZA SHAH
PENYANYI/PELAKON
"Bukan hanya menyanyi, saya juga mahu intai kerjaya dalam bidang lakonan di sana," jelasnya.
Bercerita tentang perkembangan kerjaya, Rezza yang sebelum ini dikenali menerusi program One In A Million memberitahu dia merancang untuk memulakan sebuah band baharu.

Rezza merancang perjalanan seni dengan baik.
Bukan itu sahaja, dia juga banyak menerima tawaran berlakon dan melihat perjalanan karier seni semakin bertambah baik.
"Selepas menyertai sebuah program realiti, perjalanan kerjaya saya banyak cabaran. Namun saya bersyukur semuanya semakin baik.
"Saya juga banyak menerima tawaran berlakon sekarang ini. Selain itu, saya juga merancang untuk tampil dalam sebuah band tahun hadapan," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


