suria

Uqasha Senrose mohon maaf… “Saya tidak patut bercakap tentang perkahwinan secara umum”

Uqasha tampil menjelaskan situasi selepas kisah rumah tangga menjadi bualan.

PELAKON Uqasha Senrose tampil memohon maaf selepas tidak berfikir panjang ketika berkongsi masalah rumah tangganya dengan aktor Kamal Adli secara terbuka.

Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, berkata tindakannya itu dilakukan kerana terlalu mengikut emosi, selain bersedia mengambil tanggungjawab penuh atas segala yang telah dikongsikan.

"Saya kena bertanggungjawab atas apa yang telah saya buat. Kapsyen yang mengundang kemarahan dan aib sesiapa pun, saya tiada niat. Saya tidak patut bercakap tentang perkahwinan secara umum. Saya salah. 

Uqasha sebelum ini banyak menjawab pertanyaan pengikut di media sosial tentang isu rumah tangga. 

"Mungkin masa itu saya tidak fikir panjang, tengah marah, sedih dan penat. Saya memberi reaksi mengikut emosi," katanya. 

Uqasha berkongsi perkara itu dalam satu hantaran video yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Sabtu.

Menerusi video itu, Uqasha duduk bersebelahan dengan ibunya yang turut memberikan sokongan dan kekuatan. 

ARTIKEL BERKAITAN: “Bersabar untuk anak? Ya, kerana dialah saya bertahan selama setahun” - Uqasha Senrose 

ARTIKEL BERKAITAN: Tarikh akad berbeza dengan sijil nikah, Uqasha Senrose persoal perkahwinan dengan Kamal Adli sah atau tak?

Susulan mendapat pelbagai reaksi ramai sebelum ini, Uqasha juga sedar perkara berkaitan rumah tangga perlu diselesaikan tanpa melibatkan pengetahuan umum. 

"Saya patut atasi dengan cara berbeza, lebih matang dan tertutup. Apa yang telah terjadi dah pun terjadi. Saya dah rasa semua ini. Tak patut kongsi tentang kehidupan peribadi. 

"Bergerak ke depan, saya mahu fokus untuk bangunkan diri sendiri, menjadi lebih kuat dan ibu lebih baik," ujarnya. 

Uqasha memfailkan cerai atas alasan tiada persefahaman. 

Dalam masa sama, Uqasha juga ambil maklum segala pandangan orang ramai yang sentiasa prihatin tentang dirinya. 

Kisah rumah tangga Uqasha dan Kamal menjadi topik hangat dalam dunia hiburan selepas dia memfailkan permohonan cerai pada 1 Oktober lalu. 

Menerusi beberapa perkongsian di media sosial, Uqasha banyak membalas komen-komen netizen yang bertanya soal perkahwinan termasuk punca dia mahu bercerai. 

Untuk rekod, Uqasha mendirikan rumah tangga dengan Kamal pada 5 November 2021 di Janda Baik, Pahang. 

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Hawra Uqaira yang kini berusia 18 bulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain