SELEPAS mengumumkan bakal menimang cahaya mata kedua, penyanyi Syasya Rizal tidak dapat lari daripada tanggapan sesetengah pihak yang melihat masih terlalu awal untuk hamil selepas bersalin anak pertama.
Tenang berdepan pandangan sebegitu, bagi Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, dikurniakan anak adalah rezeki dalam rumah tangga.
"Ramai netizen kata gelojoh dan tak buat perancangan keluarga. Jujurnya, kalau Allah cakap jadi maka jadilah.

Syasya bakal timang cahaya mata kedua.
"Rezeki orang di dunia ini berbeza-beza. Rezeki saya buat masa sekarang adalah anak, Jadi saya bersyukur dengan apa sahaja yang Allah beri.
"Mesti ada rasa takut. Tapi sentiasa ingatkan diri percaya pada perancangan Allah," katanya.
Syasya berkongsi perkara tersebut dalam satu hantaran video yang dimuat naik di laman TikTok miliknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bukan anak kembar, Syasya Rizal belum tahu gender bayi kedua
ARTIKEL BERKAITAN: “Rasa takut sentiasa ada” - Syasya kongsi perjalanan jadi ibu usia muda
Penyanyi ini turut menceritakan kembali detik dia mengetahui dirinya hamil sebelum memaklumkan berita gembira itu kepada suami, Nasrullah Mohd Sapie.
"Pertama kali dapat tahu ketika 10 malam terakhir bulan puasa. Masa itu kami berbuka di pusat membeli-belah, saya beli alat ujian kehamilan tanpa Nas tahu.
"Pergi tandas dan periksa ia double line. Masa itu saya keliru, bagaimana nak hadapi. Saya gementar dan takut.

Syasya sedia sambut kelahiran anak kedua.
"Selepas berbuka puasa saya tunjuk kepada Nas. Dia tidak cakap banyak dan hanya kata Alhamdulillah. Saya keliru dengan reaksi dia. Katanya Allah tidak beri sesuatu kalau kita mampu atasi. Anak juga adalah rezeki," ceritanya.
Untuk rekod, Syasya dan Nasrullah mendirikan rumah tangga pada 20 April 2024.
Mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Mohd Yassir Hayyan yang dilahirkan pada Disember tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


