TINDAKAN pelakon Hazman Al Idrus yang didakwa menjalani ritual agama Hindu ketika penggambaran sebuah filem bersama produksi dari Denmark mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menegaskan individu beragama Islam tidak boleh terlibat dalam sebarang bentuk ritual atau amalan agama lain walaupun atas alasan lakonan.
“Mengamalkan apa sahaja yang melibatkan keagamaan atau ritual bukan beragama Islam, bagi orang Islam adalah tidak boleh.

Izhar turut titip pesan buat para pelakon.
"Nabi sudah jelaskan, sesiapa yang melakukan apa-apa ritual, perwatakan atau pakaian yang menyerupai golongan tertentu, maka dia adalah sama seperti mereka,” katanya ketika dihubungi mStar.
Menurut Mohd Izhar, walaupun tujuan seseorang pelakon itu sekadar untuk menjiwai watak, prinsip dan batas syariah tetap perlu dijaga agar tidak menjejaskan imej serta maruah agama Islam.
“Walaupun matlamatnya adalah lakonan, cara untuk mencapai matlamat itu perlu patuh kepada syariah. Kita tidak boleh melakonkan watak-watak yang menjatuhkan imej seorang Muslim,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Hazman Al-Idrus dapat idea buat lagu tepi sungai, AURA muncul pukul 12 malam
ARTIKEL BERKAITAN: A. Aida masuk ICU
Mohd Izhar turut menasihatkan para pelakon beragama Islam supaya berpegang teguh kepada prinsip dan tidak sewenang-wenangnya menurut arahan pihak produksi jika ia melibatkan perkara yang boleh menggugat akidah.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar pelakon tidak terlalu bimbang soal rezeki kerana Allah sentiasa menyediakan jalan terbaik bagi mereka yang menjaga prinsip agama.
“Kita tak boleh ikut saja apa yang diarahkan oleh pihak penerbit atau pengarah sekiranya ia bercanggah dengan hukum. Nabi sudah berpesan agama mereka untuk mereka, dan agama kita untuk kita.

Antara foto yang dikongsikan sendiri oleh Hazman.
“Jangan risau tentang rezeki. Kalau kita tolak satu tawaran kerana Allah, insya-Allah, Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih baik,” katanya.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan Hazman yang sedang mencipta nama di Indonesia menegaskan prinsip keimanan dan pegangan agamanya tidak pernah goyah walaupun menjalani penggambaran ritual Hindu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


