suria

Kertas Siasatan Perhimpunan Haram Pelajar Hampir Siap

IPOH: Polis hampir selesai melengkapkan kertas siasatan berhubung perhimpunan haram melibatkan kira-kira 70 pelajar universiti di perkarangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim baru-baru ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata, apabila kertas siasatan mengikut pelbagai sudut itu siap ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya dalam masa terdekat.

"Kita beri keutamaan kepada kertas siasatan kes ini dan bekerjasama dengan beberapa pegawai Bukit Aman bagi menyiapkannya," katanya.

"Polis telah mengambil keterangan beberapa pelajar terlibat dan merakam percakapan anggota kami yang terlibat menyuraikan perhimpunan dalam melengkapkan kertas siasatan," kata Mohd Shukri kepada pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah di sini, Selasa.

Asisten Superitendan Shaharon Anuar Abdul Latif dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Batu Gajah yang baru menggantikan Superitendan Ahmad Nordin Jaafar yang akan bersara.

Ditanya mengenai beberapa blog dan portal yang mempertikaikan tindakan polis terhadap pelajar, Mohd Shukri berkata pihaknya masih lagi memantau pihak tetentu yang cuba memburuk-burukkan imej polis.

"Kami sedang siasat mana-mana pihak yang keluarkan kenyataan di blog dan portal dan pastinya tindakan dari segi undang-undang akan diambil. Kami tidak mahu menjadi mangsa sedangkan niat kami jelas untuk menjaga keselamatan," katanya.

Mohd Shukri menegaskan polis mempunyai bukti rakaman video yang menunjukkan mereka tidak menggunakan kekerasan atau membawa kayu dan blantan ketika menyuraikan perhimpunan haram itu.

"Pada malam itu kami tahu sedang berhadapan dengan pelajar, jadi tidak ada gunanya bawa senjata, memukul atau mengambil tindakan kekerasan. Sekiranya kenyataan pelajar luka disebabkan oleh polis, itu adalah fitnah.

"Yang kami tahu kecederaan mereka itu berpunca daripada luka semasa rempuh cermin pintu klinik yang mereka kata untuk mencari ubat. Mereka tidak sepatutnya lakukan seperti itu," katanya.

Ditanya mengenai tindakan polis terhadap penulis blog dan portal, Mohd Shukri berkata polis akan melihat dari sudut undang-undang yang berkaitan dan melihat pada bukti sebelum mengambil tindakan terhadap mereka (penulis blog).

"Sekiranya ada kesahihan, kami akan ambil tindakan. Namun kelemahan polis juga akan perbetulkan," katanya.

Dalam kejadian pada 31 Disember itu, seramai 17 mahasiswa termasuk seorang wanita ditahan kerana menyertai perhimpunan haram anjuran kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan ambang Tahun Baru 2012 di UPSI. -BERNAMA

Artikel Lain