suria

UPEN Perak Diminta Siapkan Segera Cadangan Naik Taraf Khidmat Bas Henti-Henti

IPOH: Kerajaan Perak mengarahkan Unit Perancang Ekonomi Negeri menyiapkan segera kertas cadangan bagi menaik taraf perkhidmatan bas henti-henti khususnya di kawasan Kuala Kangsar, Lenggong, Larut Matang dan Selama.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Datuk Dr Mah Hang Song berkata cadangan itu perlu disegerakan bagi membantu syarikat meneruskan operasi, sekali gus memudahkan rakyat.

"Apabila siap, kertas cadangan itu akan dibawa ke mesyuarat Exco kerajaan negeri untuk tindakan segera," katanya kepada pemberita, di sini, Jumaat.

Dr Mah berkata pada pertemuan dengan pengusaha bas terbabit hari ini, mereka bersetuju meneruskan operasi sekalipun menanggung kerugian termasuk Syarikat Red Omnibus yang beroperasi di Kuala Kangsar, Lenggong, Larut Matang dan Selama.

Pengurusan syarikat bas itu sebelum mahu menghentikan perkhidmatan dari Kuala Kangsar ke Lenggong dan beberapa kawasan lain di Larut Matang dan Selama, katanya.

Jika itu berlaku, Dr Mah berkata lebih 8,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan tersebut setiap hari akan menghadapi kesukaran.

"Di dalam kertas cadangan tersebut akan dimasukkan juga mekanisma dan kaedah bagaimana untuk memastikan Red Omnibus tidak terus mengalami kerugian selepas ini," katanya.

Antara mekanisma yang dicadangkan ialah subsidi oleh kerajaan negeri tetapi perkara itu hanya akan diketahui selepas kertas cadangan itu siap sepenuhnya, katanya.

Red Omnibus yang beroperasi dengan 32 buah bas sebelum ini dilapor mahu menghentikan operasi mulai hujung tahun ini disebabkan kerugian kerana bebanan kos yang tinggi. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain