suria

Warga Sri Lanka & Afghan Ditahan Ketika Cuba Keluar Secara Haram

JOHOR BAHARU: Pihak berkuasa telah menahan 12 warga Sri Lanka dan empat warga Afghanistan di Pantai Sungai Tengah, dekat Bandar Penawar ketika mereka cuba keluar daripada negara ini menuju ke Indonesia dan kemudiannya Australia secara haram.

Timbalan Komander Pasukan Gerakan Marin (PGM) Wilayah Dua, Supt N.Kalai Chelvan berkata, anggotanya telah mendapat maklumat dan mengintip lokasi terbabit sebelum menangkap warga asing tersebyt pada jam 1 pagi Jumaat.

"Kesemua warga asing yang berumur di antara 17 hingga 40 tahun itu mengaku hendak keluar menuju ke negara ketiga, Indonesia dan Australia melalui laluan yang tidak diwarta menggunakan bot," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua warga asing itu telah diserahkan kepada Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Kalai Chelvan, sepanjang tahun ini sahaja pasukannya telah berjaya menangkap 985 pendatang asing tanpa izin ketika mereka cuba memasuki atau keluar daripada Malaysia menggunakan "laluan tikus".

Katanya lagi, PGM turut menangkap 34 tekong di dalam tempoh yang sama tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain