suria

2012 Dijangka Tahun Menarik Bagi Industri Kereta

KUALA LUMPUR: Industri kereta tempatan dijangka rancak pada 2012 meskipun mengharungi keadaan yang agak sukar pada tahun ini.

Kedua-dua syarikat kereta nasional dan juga bukan nasional mengumumkan pelancaran beberapa model menarik, pengembangan kemudahan dan rangkaian serta penaikan taraf program.

Sebahagiannya telahpun menerima pertanyaan dan tempahan menjelang Tahun Baru Cina pada 23-24 Jan, 2012.

Proton Holdings Bhd akan melancarkan kereta global baharu, P3-21A, pada suku pertama 2012 dan dua varian baharu kenderaan pelbagai guna Exora pada minggu kedua Januari.

UMW Toyota Motor Sdn Bhd merancang memperkenalkan beberapa model bagi Toyota dan Lexus, manakala Naza Kia akan menerima tempahan bagi Optima K5 baharu pada Januari.

Naza Kia akan membuka pusat kedua 3S (jualan, servis dan alat-alat ganti) Kia Red Cube dan menaik taraf 27 pusat sedia ada bagi memasukkan identiti baharunya.

Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) akan memeterai kerjasama dengan Proton bagi beberapa aspek tertentu awal tahun depan.

Perodua mendedahkan kedua-dua pihak akan membuat pengumuman mengenai perjanjian itu sama ada pada tahun ini atau tahun depan.

Mengenai rancangan Khazanah Nasional Bhd untuk menjual pegangannya dalam Proton kepada DRB-HICOM Bhd, kebanyakan penganalisis enggan mengulas sementara menunggu pengumuman rasmi Khazanah.

Faktor-faktor lain yang perlu diperhatikan dengan rapat oleh peserta industri termasuklah semakan semula Dasar Automotif Negara dan kadar pertukaran dolar AS dan yen.

Penduduk golongan muda Malaysia, yang biasanya membentuk sebahagian besar pembeli pertama, akan membantu industri kereta mencapai jumlah jualan keseluruhan industri (TIV).

Para penganalisis kereta berkata pelan perniagaan yang efektif untuk memanfaatkan peluang pertumbuhan termasuk strategi menangani realiti ekonomi dengan mengambil kira krisis hutang Eropah dan kekangan kredit, adalah suatu yang penting. Peserta industri dan penganalisis menjangka TIV tahun depan mencatatkan pertumbuhan positif.

OSK Research Sdn Bhd berkata TIV tahun depan dijangka berkembang sebanyak 1.1 peratus di atas sokongan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar pada 5.2 peratus.

RHB Research Institute mengunjurkan TIV kekal tidak berubah pada 607,000 unit pada 2012 berbanding 2011, yang dianggarkan pada 604,000 unit.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd meramalkan TIV berkembang 0.5 peratus kepada 611,140 unit daripada 608,100 unit yang diunjurkan tahun ini.

Naza Kia menjangka kuantiti jualan kekal tidak berubah tahun depan dengan mengambil kira pilihan raya umum akan datang dan berkata "mengekalkan jualan pada paras semasa sudah cukup baik bagi tahun depan."

Pada 2010, TIV mencecah rekod sebanyak 605,155 unit, peningkatan 12.7 peratus berbanding dengan 536,905 unit pada 2009. Bagi tahun ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan jualan industri mencecah 608,000 unit.

Pasaran menyaksikan momentum dipacu oleh kuasa beli kukuh dan permintaan tinggi daripada pelanggan tahun ini tetapi berdepan beberapa cabaran seperti kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac dan banjir di Ayutthaya, Thailand, pada suku ketiga tahun ini.

Akibatnya, beberapa pelancaran model tertentu terpaksa ditangguhkan dan syarikat seperti UMW Toyota Motor dan Honda berdepan masalah kelewatan penghantaran alat-alat ganti.

Dengan 2011 menjadi tahun yang ingin dilupakan oleh industri kereta, kebanyakan penganalisis bersetuju situasi pengeluaran alat-alat ganti dan serahan sudah hampir kembali seperti biasa.

Jumlah jualan kenderaan meningkat sebanyak 8.6 peratus kepada 48,702 unit pada November, daripada 44,845 unit yang dijual pada bulan yang sama tahun lepas.

Menurut MAA, kuantiti jualan bagi Disember dijangka terus sederhana, disebabkan pelanggan mahu menunggu dan mengambil serahan stok pengeluaran tahun 2012. - BERNAMA

Artikel Berikut

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

Artikel Lain