suria

Abdul Aziz Dipelawa Sertai PAS

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pusat mempelawa Profesor Dr Abdul Aziz Bari menyertai parti itu sekiranya beliau menamatkan kerjayanya sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Naib Ketua Pemuda PAS, Raja Ahmad Al-Hiss berkata, tawaran itu diberikan kepada Abdul Aziz supaya beliau mempratikkan ilmunya sebagai pakar undang-undang dan perlembagaan dalam menegur kepincangan sistem politik negara.

"Kami mengalu-alukan penyertaannya sebagai ahli politik bagi bersama-sama membentuk sistem negara yag amat memerlukan ilmunya selama ini.

"Kita yakin peryertaan beliau dapat memberi manfaat kerana ilmunya selama ini diterjemahkan bagi membentuk sebuah negara mengikut lunas undang-undang sebenar," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, perjuangan Abdul Aziz dalam memelihara Perlembagaan negara akan terus berkembang di bawah PAS.

"Andai beliau menyertai PAS, cita-cita parti untuk melaksanakan dasar pemerintahan Islam akan bertambah mantap," katanya.

Raja Ahmad berkata, pihaknya menunggu jawapan daripada Abdul Aziz dan menghormati sebarang keputusan ahli akademik itu.

Abdul Aziz sebelum ini memberitahu, beliau masih belum mendapat sebarang jawapan daripada pejabat Naib Canselor UIAM berhubung permohonannya untuk meninggalkan universiti tersebut.

Ketika dihubungi mStar Online pada Khamis, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

"Saya pun tak tahu. Saya tak nak komen," katanya.

Artikel Lain