suria

Kebakaran: Bomba Selamatkan Bangunan Kilang Kitar Semula Plastik Bernilai lebih RM1 Juta

KULIM: Tindakan pantas anggota Bomba dan Penyelamat di sini berjaya menyelamatkan sebuah bangunan kilang kitar semula plastik bernilai lebih RM1 juta daripada musnah dalam satu kebakaran di Taman Industri Desa Waja, Lunas dekat sini, awal hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kulim Ahmad Ridwan Yahaya berkata pihaknya mendapat panggilan kecemasan mengenai kebakaran kilang Dynamic Polymer Industry itu kira-kira pukul 12.45 pagi dan dua pasukannya tiba di lokasi pada 12.50 pagi.

Beliau berkata ketika itu, sebuah tempat menyimpan stok plastik yang belum diproses terletak di tepi bangunan utama kilang Dynamic Polymar sedang terbakar dan semakin marak.

"Dengan bantuan lebih 40 anggota termasuk daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Kulim Hi Tech Park dan lima lagi Pasukan Bomba dan Penyelamat Sukarela sekitar Kulim, kami berjaya mengawal api daripada merebak ke bangunan utama," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran di tempat menyimpan beratus-ratus bungkusan stok plastik yang belum dikitar semula berkeluasan 15.24 meter x 18.29 meter dalam tempoh 30 minit sebelum kebakaran merebak ke bangunan kilang utama.

Ahmad Ridwan berkata ketika kejadian, terdapat tujuh pekerja dalam kilang tersebut yang dipercayai pengawal keselamatan yang sedang bertugas dan mereka selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata sehingga kini punca kebakaran masih disiasat dan jumlah kerugian belum dapat ditaksirkan. - BERNAMA

Artikel Lain