suria

Isu Prima Facie: Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Lima Lelaki Untuk Pengisytiharan

PUTRAJAYA: Lima lelaki termasuk tiga warga Mexico gagal memperoleh perintah Mahkamah Persekutuan untuk mengisytiharkan bahawa Mahkamah Tinggi boleh menyemak keputusannya sendiri berhubung pembuktian kes prima facie terhadap mereka bagi kesalahan mengedar dadah.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria, yang mengetuai panel tiga hakim, menolak permohonan itu selepas membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Bache.

Panel yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Md Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ahmad Ma'arop bersetuju dengan Ahmad bahawa permohonan sedemikian tidak boleh dikemukakan secara terus kepada mahkamah berkenaan.

Ahmad Bache membantah atas alasan Mahkamah Persekutuan tidak boleh mendengar permohonan itu.

Beliau berkata ini kerana Perkara 182 (2) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 hanya membenarkan seorang hakim Mahkamah Tinggi merujuk persoalan mengenai isu perlembagaan secara terus kepada Mahkamah Persekutuan.

Ahmad berkata dalam kes ini, permohonan itu tidak ada kena-mengena dengan isu perlembagaan, selain itu ia adalah pramatang.

Panel itu juga bersetuju dengan hujah Ahmad bahawa permohonan warga Singapura Lim Hung Wang, warga Malaysia Lee Boon Siah dan dua beradik warga Mexico Jose Regino Gonzales Villarreal, Simon Gonzales Villarreal serta Luis Alfonso Gonzales Villarreal merupakan penyalahgunaan proses mahkamah.

Ini kerana mereka mempunyai satu lagi saluran untuk merayu jika Mahkamah Tinggi mensabitkan mereka dengan kesalahan mengedar dadah di akhir kes pembelaan.

Keputusan itu menyebabkan kelima-lima tertuduh perlu kembali ke Mahkamah Tinggi untuk membela diri seperti yang diperintahkan pada 25 Februari lalu selepas pendakwaan didapati berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.

Permohonan itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan selepas mereka gagal dalam percubaan meminta Mahkamah Tinggi menyemak keputusannya sendiri.

Peguam mereka Kamarul Hisham Kamaruddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa permohonan untuk perintah pengisytiharan itu adalah yang pertama seumpamanya.

Lim, 54, Lee, 47, Jose Regino, 33, Simon, 36, dan Luis Alfonso, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di kilang IPL Packaging Industries Sdn Bhd, Jalan Idaman 1/5 Taman Perindustrian Senai, Johor Baharu pada 3.15 petang, 4 Mac 2008.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditahan Serang Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain