suria

Perlis-Satun Thailand Setuju Bincang Cadangan Wujud Pintu Sempadan Bt Kayu Puteh

SATUN (Thailand): Perlis dan wilayah Satun bersetuju pada dasar untuk menghidupkan semula cadangan mewujudkan pintu sempadan di Bukit Batu Puteh, Kuala Perlis.

Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu dan Pemangku Gabenor wilayah Satun, Nueachai Jirahapirak, di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, pentadbiran Satun mencadangkan pembinaan sebuah terowong sebagai satu lagi pintu sempadan antara Perlis dan wilayah itu setelah cadangan membangunkan Bukit Batu Puteh tidak dibincangkan selama beberapa tahun.

Mengulas perkembangan itu kepada Bernama di sini, Md Isa berkata kerajaan Perlis pada dasarnya bersetuju menghidupkan semula cadangan bersama yang dibuat pada 1996 itu setelah mengambil kira pelbagai sudut.

Antaranya ialah kos infrastruktur yang lebih rendah di samping peluang ekonomi yang bakal wujud di kawasan Kuala Perlis dan sekitarnya dengan pembukaan pintu sempadan baru.

Beliau berkata, seandainya cadangan itu direalisasikan, kerajaan negeri akan memastikan ia memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak terutama rakyat Perlis.

Sementara itu, Nueachai berkata kajian mengenai pembinaan terowong yang bermula April lalu dijadual berakhir April depan dengan kos 35 juta baht.

"Kami tak tahu apa keputusannya dan yang kami tahu harapan penduduk Satun mengenai keperluan pintu sempadan yang baru," katanya menerusi penterjemah.

Beliau juga berkata keputusan itu juga dibuat memandangkan agak sukar untuk membangunkan prasarana di kawasan pintu masuk Wang Prachan dan Wang Kelian yang kini digunakan penduduk di Perlis dan Satun.

Ini kerana kedudukannya di dalam kawasan Taman Negeri Taleban (sebelah Thailand) yang mana had pembangunannya adalah terbatas, manakala di sebelah Malaysia terpaksa melalui jalan berbukit di kawasan Taman Negeri Perlis.

Pertemuan Menteri Besar Perlis dan Gabenor Wilayah Satun itu adalah sempena program sukan sempadan Perlis-Satun.

Artikel Lain