suria

Petronas Carigali Uji Persediaan Kecemasan Dalam Latihan Tiga Hari

MIRI: Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), sayap eksplorasi dan pengeluaran Petronas, memulakan latihan respons terhadap tumpahan minyak selama tiga hari di sini, membabitkan 30 petugas operasi.

Pengurus Kanan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar, Suhaimi Ahmad berkata, latihan itu merupakan sebahagian daripada siri Latihan Respons Kecemasan dan Pengurusan Krisis (CMERT) syarikat itu bagi memastikan kesiapsiagaannya dalam situasi kecemasan.

"Latihan ini bertujuan menguji keupayaan dan kecekapan pasukan Pusat Koordinasi Kecemasan (ECT) dan mendedahkan mereka terhadap proses mengurus kecemasan, terutama kejadian tumpahan minyak," katanya.

Beliau mewakili Pengurus Besar Operasi PCSB Sarawak Mohd Amin Abdullah merasmikan latihan itu.

Menurutnya, latihan itu juga membabitkan sesi ceramah oleh profesional teknikal pengurusan tumpahan minyak dari Jabatan Alam Sekitar, Kumpulan Bantuan Bersama Industri Petroleum Malaysia (PIMMAG) dan PCSB, latihan di PCSB serta penugasan luar pantai.

"Pada masa yang sama, kami mahu menilai prosedur dan peralatan kami dalam menangani insiden tumpahan minyak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain