suria

Parlimen Mesti Terus Pertahan Keluhuran Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berharap Parlimen Malaysia akan terus mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan terutamanya hal mengenai Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa Persekutuan.

Menyifatkan Parlimen sebagai institusi yang menyuarakan suara rakyat, Seri Paduka bertitah Parlimen melaksanakan fungsi dan peranannya dengan berkesan ke arah mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi sebagai bukti kepada proses evolusi dan pemantapan daripada segi dasar dan polisi yang berterusan.

Seri Paduka bertitah adalah sesuatu yang membanggakan apabila melihat prestasi kedua-dua Majlis Parlimen yang terdiri daripada Dewan Negara dan Dewan Rakyat semakin matang dan bertanggungjawab daripada segi perbahasan demi untuk kepentingan rakyat dan negara.

"Beta memahami, adakalanya suasana dewan menjadi begitu mencabar. Tetapi suasana ini telah dapat ditenangkan dan diuruskan dengan kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Berhormat Yang Dipertua Dewan Rakyat serta sikap bertolak ansur Ahli-Ahli Yang Berhormat.

"Sikap toleransi dan bertanggungjawab Ahli-Ahli Yang Berhormat penting bagi memastikan institusi Parlimen Malaysia ini dapat memainkan peranan berkesan sebagai badan perundangan utama negara," titah Seri Paduka pada majlis santapan menjunjung kasih sempena tamat tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Tuanku Mizan bertitah Parlimen perlu dilihat sebagai satu landasan yang penting dalam memastikan dasar dan polisi kerajaan dilaksanakan secara efektif dan berkesan melalui mekanisme mengawasi dan menegur.

Terdahulu keberangkatan tiba, Tuanku Mizan dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Yang Dipertuan Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Aman Mulia dan Yang Dipertuan Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Jamuan perpisahan itu dihadiri anggota Dewan Negara dan Dewan Rakyat daripada parti kerajaan dan pembangkang.

Majlis santapan diserikan dengan persembahan orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) dengan barisan artis terkenal tanah air antaranya Jamal Abdillah, Atilia dan Mila AF.

Pada 14 Oktober lepas, Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah di pilih menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya di Istana Negara bagi menggantikan Tuanku Mizan.

Pemilihan itu berkuatkuasa 13 Disember untuk tempoh lima tahun.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.

Ini adalah merupakan kali kedua Sultan Abdul Halim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama pada 21 September 1970, untuk tempoh lima tahun yang berakhir pada 20 September 1975. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Maut Jatuh Pokok Petai

Artikel Lain