suria

Lelaki Diisytihar Tidak Waras Bunuh Isteri, Cederakan Anak

SHAH ALAM: Seorang penganggur pad Selasa dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini daripada tuduhan membunuh isteri dan mencederakan anak perempuannya selepas didapati tidak waras semasa melakukan perbuatan itu, dua tahun lepas.

Bagaimanapun, Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad memerintahkan R.Devarase, 56, ditahan di Penjara Sungai Buloh selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor.

Dalam penghakimannya, Siti Mariah berkata pembelaan berjaya membuktikan Devarase tidak waras dan tidak siuman semasa kejadian serta tidak mengetahui perbuatannya itu bersifat jenayah.

Beliau berkata, saksi kedua pembelaan, pakar psikiatri Dr Ahmad Syukri Chew Abdullah dalam keterangannya juga mengesahkan bahawa Devarase mengalami kemurungan teruk dengan gejala psikotik dan keterangannya itu tidak dibantah pihak pendakwaan.

"Sehubungan itu, mahkamah menerima keterangan saksi itu dan mendapati tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," katanya.

Devarase didakwa membunuh isterinya, S.Lacheme, 47, di rumah No: 21, Jalan Sri Damak 15, Taman Sri Andalas, Klang dekat sini, kira-kira pukul 9 pagi pada 11 Jun 2009.

Lelaki itu juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan dengan menikam anak perempuannya, D.Sharala 23, menggunakan sebilah pisau di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Mengikut rekod perubatan Devarase, lelaki itu sepatutnya menghadiri temuduga kerja pada hari kejadian, bagaimanapun dia terlewat bangun menyebabkan Lacheme memarahinya.

Devarase yang tidak tahan mendengar leteran Lacheme bertindak mencekik wanita itu dan menikamnya di bahagian dada menggunakan pisau.

Sepanjang perbicaraan, seramai 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua orang saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Hana Hadinah S. Mohd Ghazali sementara Devarase diwakili peguam K.A.Ramu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

1,967 Mangsa Banjir Di Kelantan

Artikel Lain