suria

Mahkamah Tinggi Kekalkan Pembebasan Ramli Yusuff

Oleh M.MAGESWARY

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, beliau tidak menjumpai sebarang alasan untuknya menganggu gugat keputusan berhubung pembebasan tersebut.

Ramli sebelum ini didakwa atas tuduhan memegang jawatan dalam syarikat hartanah, Kinsajaya Sdn Bhd ketika beliau masih seorang penjawat awam.

Mengikut pertuduhan, Ramli yang kini seorang peguam didakwa menjadi pengarah dalam Kinsajaya ketika masih memegang jawatan Pengarah JSJK, Bukit Aman pada 2 Mei 2006.

Pada 20 Ogos 2010, Hakim Mahkamah Sesyen S.M Komathy Suppiah melepas dan membebaskan Ramli daripada tuduhan tersebut tanpa memanggil beliau untuk membela diri atas tuduhan itu.

Semasa itu, Komathy dalam penghakimannya berkata, beliau mendapati Ramli bukanlah pengarah Kinsajaya pada tarikh yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Komathy ketika membacakan keputusannya di akhir kes pendakwaan menyatakan, Penyata Laporan & Kewangan Kinsajaya bertarikh 28 Jun 2006 menunjukkan pengarah syarikat berkenaan ialah kakak Ramli, Rohmah @ Hasmah Yusuff dan adiknya, Ruslina Yusuff.

Artikel Lain