Dr Kamal Ismail atau di sini lebih kami kenali sebagai Pak Tam merupakan antara orang pertama yang saya temui apabila saya menjejak kaki di bumi Melbourne kira-kira tiga tahun yang lalu.
Beliau yang menjemput saya sekeluarga bersama-sama rakan yang lain dari lapangan terbang Tullmarie dan ke rumah sementara kami di daerah Resevour.
Beliau tidak sekadar menghantar kami sekeluarga malah meluangkan masa seketika menjelaskan beberapa perkara penting yang harus kami sekeluarga ketahui terutamanya selok belok kehidupan di sini.
Banyak nasihat yang beliau berikan yang dijadikan panduan hidup kami sekeluarga sehinggalah ke hari ini.
Perhubungan kami tidak terbatas di situ sahaja, malah menjadi akrab dari hari ke hari. Rumah kami di daerah terpencil St Albans sering beliau kunjungi.
Boleh dikatakan setiap kali kalau beliau melintas sahaja di kawasan ini pastinya rumah kami akan disinggahi.
TIDAK PANJANG
Namun, keakraban kami tidak berpanjangan, Allah lebih menyayangi beliau dalam usia tidak sampai setengah abad, beliau pergi menemui Illahi.
Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, mungkin sudah takdir, saya tidak berpeluang untuk menguruskan jenazah mereka yang rapat dengan saya.
Berita kepulangan beliau ke rahmatulah saya terima ketika saya sedang menghadiri mesyuarat ahli lembaga penasihat Yayasan Darul Ulum di Sri Lanka.
Tersandar saya apabila berita mengenainya saya terima, tanpa saya sedari air mata bergelinangan. Ketentuan illahi tiada siapa yang boleh mengatasinya.
Umur bukan pengukur apatah lagi janji Allah, rahsia yang tidak mungkin manusia dapat rungkaikan sampai bila-bila.
KEPERIHATINAN
Isu sebenarnya yang ingin saya ketengahkan di sini ialah sejauh manakah keperihatinan pihak Kementerian Pengajian Tinggi terhadap para pelajar di bawah selian mereka.
Walaupun pemergian arwah dinyatakan sebagai kegagalan jantung namun kronologi ke arah permasalah tersebut yang perlu diteliti.
Saya dapat rasakan ramai di kalangan pelajar kita, terutamanya yang sedang membuat Phd mengalami tekanan perasaan. Ke mana harus mereka mengadu? Paling lebih berbual kosong bersama-sama rakan pelajar.
Saya ingin manganjurkan bahawa sudah tiba masanya pihak kementerian meletakkan seorang pegawai kaunseling di negara dan wilayah yang mempunyai pelajar Malaysia yang ramai.
Bagi saya, jika senario sebegini tidak ditangani, cita-cita pihak KPT inginkan peratus pelajar yang berada di luar negara terutamanya di peringkat pasca siswazah lulus dengan purata yang tinggi tidak mungkin tercapai.
Kesemua elemen dalaman ini tidak boleh diabaikan atau dipandang ringan oleh pihak berkauasa. Kita tidak mahu menghasilkan buah yang elok pada luarannya sahaja tetapi di dalamnya busuk.
BUKAN ISU REMEH
Isu sebegini bukan perkara remeh, hakikatnya sepanjang saya berada di sini, saya pernah melihat beberapa orang pelajar kita yang porak perada rumah tangga mereka disebabkan tekanan belajar dan saya juga pernah berjumpa dengan mereka yang mengalami sindrom “gila isim” - suatu keadaan yang menakutkan. Jika fenomena ini tidak dibendung dengan segera, lama-kelamaan ia akan menjadi faktor fobia bagi pelajar yang ingin menyambung pengajian di peringkat tinggi di luar negara.
Saya mengharapkan agar dalam peruntukan tahun hadapan isu mengenai meletakan kaunselor bertauliah di luar negara bagi mangatasi masalah tekanan jiwa di kalangan pelajar kita akan dapat diberi pertimbangan yang sewajarnya.
Janganlah sampai masalah ini menjadi lebih teruk baruhlah pihak kementerian ingin bertindak.
Antara ayat-ayat terakhir Pak Tam smskan kepada saya, di saat akhir beliau, yang saya akan kekal simpan selama-lamanya ialah, Biar hina di mata manusia dan semangat semakin tua tapi jangan tergadai silaturahim antara kita.
Begitu dalam sekali ayatnya, marilah kita sama-sama merenunginya dan menghayati apa yang tersirat dan tersurat di sebalik kata-kata tersebut.
Buat Saudara Kamal Ismail ku doakan agar dikau ditempatkan bersama-sama orang soleh serta dipermudahkan segala urusa kamu di sana. Alfatihah.
Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau juga pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected].


