suria

Perbezaan Ideologi Bukan Penghalang Hubungan Diplomatik - Richard

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan negara lain di dunia tanpa mengira ideologi, sistem politik dan sistem ekonomi negara tersebut. Timbalan Menteri Luar Datuk Richard Riot berkata ini termasuk menjalin hubungan dua hala dengan negara komunis/sosialis, dan Malaysia mempunyai hubungan diplomatik dengan lima buah negara tersebut iaitu China, Laos, Vietnam, Cuba serta Korea Utara.

"Walaupun berlainan ideologi, ia tidak menjadi halangan kepada hubungan dua hala," katanya menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) pada sidang Dewan Rakyat, di sini, Isnin.

Riot berkata hubungan dua hala dengan negara luar telah memberi banyak manfaat kepada Malaysia misalnya daripada segi perdagangan, pelaburan, pelancongan, pendidikan dan teknologi. "Perhubungan baik tersebut juga memberi impak positif seperti kerjasama serantau, dan kerjasama pelbagai hala yang sekali gus membantu mengekalkan keselamatan dan kestabilan serantau," katanya.

Menjawab soalan tambahan Mahfuz mengenai satu persefahaman yang ditandatangani Umno dan Parti Komunis China, Richard berkata perkara tersebut tidak menjadi masalah kerana China sekarang melaksanakan dasar terbuka.

Pada Ogos tahun lepas, Umno dan Parti Komunis China menandatangani satu perjanjian persefahaman yang membolehkan pertukaran kepemimpinan belia dalam usaha meningkatkan kefahaman antara pemimpin belia mengenai pembangunan ekonomi dan sosial di kedua-dua negara. -BERNAMA

Artikel Lain