suria

KDN Tidak Beri Jaminan Pemberian Elaun Khas Kepada Bekas Anggota Renjer Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri tidak memberi sebarang jaminan terhadap pemberian elaun khas sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota Renjer Sarawak yang berkhidmat semasa darurat pada 1950.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman Yusop berkata, isu elaun khas itu tidak dapat diperjelaskan kerana pasukan tersebut bukan di bawah tanggungjawab KDN.

"Renjer Sarawak adalah pasukan keselamatan di bawah kerajaan Brooke pada ketika dulu," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat yang ingin mengetahui sama ada kerajaan akan mengkaji pemberian elaun khas kepada bekas Renjer Sarawak yang berkhidmat semasa darurat.

Bagaimanapun, Abu Seman berkata kerajaan akan mempertimbangkan pemberian sumbangan sebanyak RM3,000 kepada bekas anggota peninjau sempadan di Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan telah memberi bayaran saguhati khas kepada bekas anggota polis khas dan polis tambahan sebanyak RM1,000 secara one-off.

"Sejak 2003 sehingga kini, seramai 74,958 wira negara itu telah menerima bayaran tersebut yang membabitkan peruntukan sebanyak RM74.9 juta," katanya.

Jelas Abu Seman, dalam pembentangan Belanjawan 2012 pada 7 Oktober lalu, kerajaan akan memberi sumbangan RM3,000 secara one-off kepada setiap bekas anggota polis khas dan polis tambahan serta duda atau balu mereka bagi mengurangkan kos sara hidup.

"Selain itu, kerajaan juga menyediakan bantuan kepada mereka menerusi Tabung Amanah Warisan Polis (TAWP) yang meliputi bantuan khairat kematian, perubatan, pembelian alat bantuan pergerakan, pelajaran dan bencana alam," tambahnya.

Kira-kira 48,000 bekas anggota polis khas dan polis tambahan yang pernah mempertahankan negara semasa zaman darurat terdiri daripada Home Guard, konstabel khas, konstabel polis bantuan, polis bantuan, polis bantuan wanita dan polis hutan.

Artikel Berikut

Artikel Lain