suria

Malaysia, Australia Terpilih Ahli Lembaga Eksekutif WHO 2012-2014

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Australia telah dipilih untuk menganggotai Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi tempoh 2012 hingga 2014.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-62 Jawatankuasa Serantau WHO bagi Pasifik Barat dari 10 hingga 14 Oktober lepas, di Manila, Filipina.

Mesyuarat tahunan yang membincangkan isu dan cabaran dalam bidang kesihatan awam itu disertai Menteri-menteri Kesihatan Rantau Pasifik Barat yang mempunyai 37 buah negara anggota.

Liow berkata, salah satu agenda sesi ke-62 ini ialah pelantikan antara Negara-negara anggota bagi mengisi dua jawatan kosong untuk mewakili WHO rantau Pasifik Barat dalam Lembaga Eksekutif WHO.

"Pemilihan Malaysia ke Lembaga Eksekutif WHO akan meningkatkan imej negara di mata dunia dan dalam masa yang sama dapat memainkan peranan aktif dalam diplomasi kesihatan dan menentukan dasar-dasar kesihatan yang lebih efisien dilaksanakan," katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, Sabtu.

Liow berkata, Lembaga Eksekutif WHO yang merangkumi 34 anggota dalam bidang kesihatan dan negara anggota yang dilantik akan berkhidmat selama tiga tahun.

"Fungsi utama ahli Lembaga Eksekutif ialah memberi pandangan kepada keputusan-keputusan dan dasar-dasar yang digubal semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA), memberi nasihat dan menyelaraskan kerja-kerja WHO," katanya.

Menurut Liow, Malaysia terpilih sebagai ahli Lembaga Eksekutif WHO pada 26 tahun yang lepas, bagi tempoh 1983 hingga 1985 dan pernah berkhidmat pada 1963 hingga 1965.

Hanya lima tempat yang diperuntukkan bagi WHO rantau Pasifik Barat untuk menganggotai Lembaga Eksekutif WHO. - BERNAMA

Artikel Lain