suria

Polis Buru Suspek Kes Lelaki Mati Dibunuh Di Langkawi

LANGKAWI: Polis sedang mencari empat suspek yang dikenal pasti dalam kes kematian seorang lelaki yang mayatnya ditemui di sebuah apartmen di Jalan Ulu Melaka, Mukim Ayer Hangat di sini, Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Zakaria Ahmad berkata mereka yang berumur awal 30-an adalah warganegara Malaysia dan merupakan kawan karib kepada mangsa.

"Polis percaya dua daripada mereka masih ada di Langkawi manakala dua lagi di tanah besar," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Langkawi di sini.

Beliau berkata mayat lelaki yang berasal dari Kamunting, Perak itu ditemui tanpa baju dan hanya memakai seluar jeans oleh penjaga apartmen itu kira-kira pukul 9.30 pagi.

Mangsa dipercayai menginap di apartmen tersebut sejak 29 September lepas.

Zakaria berkata mangsa mengalami kecederaan di kepala.

Ekoran penemuan mayat mangsa kira-kira 4 petang, satu laporan polis dibuat oleh pekerja apartmen itu dengan membawa bersama beg pakaian yang dipercayai milik mangsa yang di dalamnya polis menemui sepucuk pistol, beberapa butir peluru dan pakaian.

"Satu pasukan polis Langkawi lalu diarah ke tempat kejadian bagi menjalankan siasatan," katanya.

Siasatan awal pihak polis mendapati turut terdapat satu das kesan tembakan di dinding bilik membaca apartmen berkenaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Langkawi untuk dibedah siasat.

Zakaria meminta orang ramai tampil memberi kerjasama untuk memudahkan siasatan lanjut dijalankan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain