suria

Kunang-kunang Boleh Jadi Tarikan Pelancong Di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Kunang-kunang atau kelip-kelip boleh dijadikan daya tarikan pelancongan di Terengganu, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Rahin Mohd Said.

Beliau berkata kerajaan negeri akan melihat kawasan yang menjadi tumpuan serangga tersebut terutama di kawasan yang terdapat pokok-pokok nipah untuk dibangunkan sebagai kawasan pelancongan.

Katanya kini kawasan tarikan pelancongan alam semula jadi di Terengganu sudah tidak banyak kerana dimajukan untuk projek pembangunan.

"Pokok-pokok besar yang menjadi tumpuan kunang-kunang sebelum ini sudah tidak banyak kecuali di kawasan pokok nipah yang turut menjadi tumpuan kunang-kunang membiak," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kehadiran kunang-kunang di Kampung Yak Yah, Kemaman yang menarik minat pelancong.

Kawasan di sepanjang sungai di kampung itu dikatakan menjadi habitat ribuan kunang-kunang.

Rahin berkata terdapat beberapa tempat lagi yang menjadi tumpuan kunang-kunang tetapi tidak sama seperti di Kampung Yak Yah, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain