suria

Usah Politikkan Tugas Penjawat Awam - Titah Sultan Ahmad

KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan tugas dan tanggungjawab penjawat awam bagi menjamin kesejahteraan negara.

Baginda bertitah pihak yang berbuat demikian hanya akan melambatkan pembangunan negara dan menyusahkan rakyat.

"Penjawat awam juga perlu komited kepada tugas mereka dalam menyokong aspirasi kerajaan yang memerintah," titah baginda ketika merasmikan Persidangan Suruhanjaya-Perkhidmatan Awam Malaysia ke-14 di sini, Isnin.

Menurut baginda, semangat sayangkan negara perlu ada pada setiap penjawat awam supaya perkhidmatan awam akan menjadi lebih cekap dan berkesan.

Pengerusi persidangan, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri berkata, suruhanjaya-suruhanjaya perkhidmatan yang memikul tanggungjawab melaksanakan urusan pengambilan dan perkhidmatan, berusaha mencapai hasrat kerajaan untuk menarik lebih ramai pegawai kompeten dan berkepakaran bagi menjadikan perkhidmatan awam lebih kompetitif dan berdaya tahan selain mengatasi masalah penghijrahan cendiakawan dalam sektor itu.

Sebagai contoh, katanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia telah melaksanakan kaedah pengambilan dikenali "My-Recruitment" yang memerlukan calon yang memohon jawatan melalui empat peringkat saringan iaitu tapisan awal, peperiksaan, pusat penilaian dan temuduga.

"Saya percaya suruhanjaya perkhidmatan yang lain juga telah memperkenalkan kaedah pengambilan yang lebih mantap dari semasa ke semasa," kata Jamaluddin.

Katanya, persidangan empat hari yang bertemakan "Perkhidmatan Awam Dinamik Pemacu Kecemerlangan" itu merupakan manifestasi komitmen Suruhanjaya-suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan kecemerlangan perkhidmatan dengan membuat penyesuaian, pembaharuan dan kemajuan dengan tindakan realistik. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain