suria

Bajet 2012: Perlu Tangani Keperluan Modal Insan Dalam Industri Penerbangan - Tony Fernandes

KUALA LUMPUR: Taikun penerbangan, Tan Sri Tony Fernandes, berharap kerajaan akan menangani keperluan untuk melabur dalam pembangunan modal insan penerbangan dalam cadangan bajet tahun depan.

Ketika menyatakan bahawa perniagaan penerbangan perlu diberikan keutamaan kerana ia boleh mewujudkan ekonomi berasaskan pelancongan yang lebih baik, beliau berkata lebih banyak dana harus disalurkan kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Pelaburan perlu disalurkan ke DCA kerana kami sekarang kekurangan jurutera penerbangan dan pakar teknikal dan saya rasa ini merupakan isu utama yang perlu ditangani kerana MAS (Malaysia Airlines) dan AirAsia semakin berkembang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan taklimat di Kolej Tunku Abdul Rahman di sini, Sabtu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Bajet 2012 di Parlimen pada 7 Oktober.

Tony berkata industri penerbangan tempatan ketika ini memerlukan lebih ramai jurutera, pengawal trafik udara dan pelaburan besar untuk membangunkan sistem yang lebih baik. "Saya berharap sebahagian daripada Bajet 2012 akan diperuntukkan untuk membangunkan prasarana yang perlu bagi industri penerbangan tempatan.

"Sistem yang lebih baik akan membolehkan kami (MAS dan AirAsia) menggunakan landasan kami dengan lebih baik. Sepatutnya perlu ada dwi mod yang membolehkan dua pesawat mendarat serentak," katanya.

Tony berkata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS yang baru dilantik Ahmad Jauhari Yahya akan bersetuju dengan beliau bahawa lebih banyak pelaburan perlu disalurkan ke DCA untuk meransangkan lagi pertumbuhan kedua-dua syarikat penerbangan itu. -BERNAMA

Artikel Lain