suria

Hanya Logo Halal JAKIM Boleh Digunakan Mulai 1 Januari Depan

PUTRAJAYA: Mulai 1 Januari depan, hanya logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) boleh digunakan dan diiktiraf.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 yang diluluskan Parlimen Julai lepas dan akan berkuatkuasa 1 Nov.

"Bermakna premis makanan, restoran, hotel dan pihak-pihak lain yang sebelum ini menggunakan logo halal bukan dikeluarkan Jakim, perlu membuat permohonan baru kerana selepas tarikh 1 Jan, logo halal sedia ada adalah terbatal.

"Mana-mana pihak lain juga tidak boleh lagi memperakukan atau mengeluarkan sijil halal ataupun membuat pengisytiharan sendiri berhubung status halal," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Ismail Sabri berkata selepas tarikh itu mereka yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Ismail Sabri berkata bagi pihak industri pula, tempoh setahun diberikan untuk menukar semua produk keluaran mereka dengan logo halal Jakim.

Bagi barangan yang diimport pula, pihak yang memasarkan barangan itu boleh mendapatkan perakuan atau sijil halal melalui 53 badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.

"Semua pihak terbabit dinasihat membuat permohonan awal menerusi Majlis Agama Islam negeri masing-masing kerana Jakim sudah memberi kuasa kepada semua majlis agama Islam negeri bagi melicinkan proses permohonan," katanya.

Dianggarkan 1,500 termasuk premis perniagaan seperti restoran, gerai, hotel dan pihak industri seperti kilang tidak menggunakan logo halal daripada Jakim. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain