suria

264 Menerima Darjah Kebesaran Persekutuan 2011

PUTRAJAYA: Penasihat Perolehan Kerajaan, Perbendaharaan Malaysia, Kementerian Kewangan Datuk Zalekha Hassan mengetuai senarai 264 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2011 daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Melawati di sini, Selasa.

Beliau merupakan antara enam penerima Darjah Panglima Jasa Negara yang membawa gelaran 'Datuk', yang dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong pada Jun lepas.

Lima penerima lain adalah Ketua Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Hadi Hussin; Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Profesor Madya Dr Bashir Ahmad Fateh Mohamed; Pakar Perunding Kanan Patalogi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM) Datuk Profesor Dr Looi Lai Meng; Ahli MCA Gurun, Kedah Datuk Ng Ah Chua dan peguam Datuk Ng Bee Ken.

Lima penerima Darjah Johan Mangku Negara adalah Menteri Muda Pertanian/Pelancongan Sarawak Mong Anak Dagang; Pengarah Perubatan KPJ Johor Specialist Hospital Dr Mohd Hafetz Ahmad; Pegawai Khas Kepada Timbalan Presiden Umno Mohd Nardin Awang; Ketua Pegawai Teknologi Maklumat dan Transportasi Celcom Noor Kamarul Anuar Nuruddin dan Ahli Majlis Perbandaran Muar, Johor Wee Chong Yan.

Selain itu, seramai tujuh orang menerima Darjah Johan Setia Mahkota, seorang menerima Darjah Johan Setia Diraja, 69 menerima Darjah Kesatria Mangku Negara dan enam menerima Darjah Kesatria Setia Diraja.

Seramai 79 lagi menerima Darjah Ahli Mangku Negara termasuk Penolong Editor Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Hafizah Kamaruddin, manakala 91 lagi menerima Pingat Pangkuan Negara. - BERNAMA

Artikel Lain