suria

Bajet 2012 Diharap Sedia Lebih Banyak Peruntukan Bina Projek Perumahan Rakyat

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berharap Bajet 2012 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 7 Oktober ini dapat menyediakan peruntukan lebih besar bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ini perlu memandangkan masih terdapat ramai rakyat berpendapatan rendah memerlukan rumah PPR.

Selain itu, peruntukan juga diperlukan untuk projek pembangunan di kawasan PPR seperti penyelenggaraan rumah PPR, selain pembinaan dan pembesaran jalan, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 80 anak-anak yatim Darul Kifayah pada majlis sambutan hari raya di sini, Ahad.

Turut hadir pemangku Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Datuk Yusuf Hamdain Diego dan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur Datuk Razali Abdul Razak.

Raja Nong Chik berkata jumlah rumah mampu milik PPR kini hanya tinggal kira-kira 3,000 unit.

Sementara itu, Yusuf Hamdain dalam ucapannya berharap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak rumah PPR kepada bekas polis serta menyediakan peluang perniagaan bagi menambah pendapatan mereka.

"Terdapat di kalangan bekas polis dan balu yang hanya menerima wang pencen sebanyak RM200 hingga RM300 (sebulan), mereka ini hidup pada paras kemiskinan. Kita harap kerajaan dapat sediakan rumah PPR dan peluang perniagaan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

15 Sekolah Cina Terima RM15 Juta

Artikel Lain