suria

Bank Kehabisan Peti Deposit Simpanan Emas

PETALING JAYA: Kenaikan harga emas yang mendadak menyebabkan agak mustahil untuk mendapatkan tempat menyimpan barang-barang berharga serta dokumen penting di bank.

Semuanya disebabkan kerana bank telah kehabisan peti deposit keselamatan dan mereka yang memohon perlu menunggu untuk satu tempoh masa yang lama untuk mendapatkannya.

Masalah tersebut berlaku disebabkan ramai pengguna yang membeli jongkong emas dan barang kemas ketika harga komoditi tersebut melambung tinggi sekaligus mencari tempat menyimpan yang selamat untuk menyimpannya.

Semakan oleh The Star dengan pihak bank mendapati terdapat beratus-ratus senarai pelanggan yang menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

Sementara itu, di Maybank cawangan Kuala Lumpur kira-kira 700 orang masih dalam menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan peti deposit keselamatan.

“Saya mintak maaf encik, kami tidak mempunyai kekosongan peti deposit keselamatan yang boleh ditawarkan. Kami tidak boleh memberi tempoh masa bila anda akan dapat memperolehinya,” kata salah seorang pegawai bank.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persatuan Bank Malaysia (ABM) Chuah Mei Lin berkata, senarai menunggu untuk mendapatkan peti deposit keselamatan itu bergantung kepada kesesuaian premis bank terutamanya dalam soal lokasi, saiz dan tahap keselamatan.

“Pihak bank juga perlu memastikan sekiranya terdapat tuntutan bersyarat bagi perkhidmatan sedemikian mengikut komuniti mereka berkhidmat,” katanya.

Ekoran masalah tersebut, orang ramai telah mengambil keputusan untuk membeli peti besi untuk menyimpan barang-barang berharga mereka.

Seorang pekerja sebuah kedai DIY di SS2 berkata adalah lebih selamat sekiranya pelanggan menyimpan barang-barang berharga mereka menggunakan peti besi.

“Saya boleh menjual kira-kira 10 hingga 20 peti besi dalam tempoh seminggu.

“Ramai pelanggan lebih mempercayai peti besi untuk menyimpan barang berharga mereka,” katanya.

Sebuah peti besi dijual pada harga yang berbeza mengikut saiz dan kualiti pembuatannya, bermula daripada RM500 hingga RM3,000 dan ke atas.

Sementara itu, kadar sewaan bagi peti deposit keselamatan di bank pula bergantung kepada saiznya. Bagi saiz sebesar kotak kasut kos yang dikenakan untuk tempoh setahun ialah RM200.

Disebabkan tiada kekosongan peti deposit keselamatan di bank, banyak syarikat swasta telah mula menawarkan perkhidmatan berkenaan kepada orang ramai.

Menurut sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan tersebut, Malaysian Royal Safe Deposit Boxes (MSDB), mereka berdepan dengan permintaan yang tinggi untuk mendapatkan perkhidmatan peti deposit keselamatan.

“Ramai pelanggan yang datang setiap hari justeru kami perlu menambahkan bekalan peti deposit keselamatan bagi memenuhi permintaan pengguna,” kata jurucakap yang mahu dikenali sebagai Dhaliwal.

Kebanyakan syarikat swasta mengenakan insurans sehingga RM100,000 bagi setiap peti keselamatan berbanding jumlah RM10,000 yang dikenakan oleh pihak bank.

Firma swasta juga mengenakan cas perkhidmatan yang lebih tinggi daripada pihak bank dengan kadar RM290 setahun bagi kotak standard.

Menurut seorang pegawai syarikat berkenaan, perkhidmatan yang ditawarkan oleh mereka lebih baik daripada pihak bank.

“Perniagaan kami dibuka tujuh hari seminggu sementara pihak bank hanya beroperasi ketika waktu pejabat dan ditutup pada hujung minggu,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain