suria

Kastam Selangor Rampas Gading Gajah Bernilai RM3 Juta

PELABUHAN KLANG: Bahagian Penguatkuasaan Kastam Selangor merampas 695 gading gajah seberat dua tan bernilai RM3 juta yang ditemui di dalam salah satu daripada dua kontena yang diisytiharkan berisi plastik hancur kitar semula (recycle crush plastic) pada Isnin. Penolong Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Zainul Abidin Taib memberitahu sidang akhbar di sini pada Isnin, kontena yang disyaki mengandungi gading gajah itu ditahan di Pelabuhan Barat di sini pada Jumaat lepas dan pemeriksaan secara menyeluruh dilakukan pagi ini. Beliau berkata Kastam Selangor membuat penahanan itu selepas mendapat maklumat daripada Bahagian Penguatkuasaan Kastam Pulau Pinang bahawa terdapat dua kontena bersaiz 20 kaki (6.09 meter) yang disyaki dimuatkan dengan gading gajah berada di Pelabuhan Barat.

"Hasil pemeriksaan yang dijalankan pasukan Kastam mendapati 92 beg plastik dimuatkan di bahagian tengah sebuah kontena tersebut berisi gading gajah bersama barangan recycle crush plastic", katanya.

Maklumat awal siasatan mendapati gading gajah ini berasal dari Tanzania dan akan dihantar ke China sebelum dieksport semula ke negara-negara rantau Asia, katanya.

Beliau berkata tiada tangkapan dibuat setakat ini dan pihaknya masih menjalankan siasatan berikutan rampasan ini.

Zainul Abidin berkata menjadi satu kesalahan untuk membawa masuk gading gajah ke Malaysia tanpa permit eksport dari negara asal kerana gajah termasuk gadingnya merupakan spesies yang dilindungi mengikut Seksyen 13 Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008.

Beliau berkata berdasarkan Seksyen 13(2) Akta itu, individu yang membawa masuk spesies terancam boleh dikenakan denda RM100,000 bagi setiap haiwan, tumbuhan ataupun anggota badannya tetapi jumlahnya tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Zainul Abidin berkata ini bukan kali pertama Malaysia cuba dijadikan transit bagi penyeludupan gading gajah kerana pada 19 Ogos lepas, Kastam Pulau Pinang merampas 664 gading gajah seberat 1.6 tan bernilai RM2.3 juta.

Beliau berkata kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh sindiket yang sama kerana modus operandi adalah serupa iaitu menyembunyikan gading-gading gajah di dalam guni plastik bersama guni-guni yang berisi plastik hancur kitar semula. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain