suria

Bakti Mahu Tahap Keselamatan Diberi Perhatian Utama Dalam Misi Kemanusiaan

KUALA LUMPUR: Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) mahu tahap keselamatan dijadikan perkara utama ketika melaksanakan misi kemanusiaan di luar negara.

Yang Dipertua Bakti Datin Seri Rosmah Mansor berkata beliau dukacita dengan insiden yang menimpa jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor yang terkorban setelah terkena tembakan curi ketika membuat liputan misi kemanusiaan di Mogadishu, Somalia, Jumaat lepas.

"Saya berasa amat dukacita perkara yang tidak diingini ini berlaku walaupun tidak sengaja oleh kerana mereka pergi ke sana untuk menolong orang Somalia yang mengalami kebuluran makanan dan perubatan," katanya ketika menziarahi keluarga Allahyarham di Serdang Raya dekat sini, Ahad.

Rosmah, yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, turut mengucapkan takziah kepada keluarga Noramfaizul atas kehilangan tersebut serta berharap mereka dapat menerima takdir tersebut sebagai qada dan qadar.

Katanya Allahyarham Noramfaizul seorang yang aktif dalam tugas-tugas sukarelawan di dalam industri media sebagai jurukamera serta seorang yang berani menghadapi cabaran dan risiko ketika menjalankan tugas.

Beliau turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada keluarga Allahyarham untuk urusan kenduri arwah.

Turut hadir ialah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri, Datin Seri Masnah Rais, isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman dan Presiden Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Noramfaizul merupakan sebahagian daripada 55 anggota sukarelawan yang mengikuti Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia untuk membantu mangsa bencana kemarau dan kebuluran di Somalia.

Allahyarham Noramfaizul terkorban akibat terkena tembakan curi semasa kenderaan yang dinaikinya bersama petugas media Malaysia yang membuat liputan misi itu, ditembak ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan pada Jumaat. - BERNAMA

Artikel Lain