suria

Perkasa Kesal Dunia Arab Membisu Serangan NATO Di Libya

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melahirkan rasa dukacita dengan serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Tripoli yang telah membunuh dan mencederakan lebih 1,300 rakyat Libya yang tidak berdosa.

Pengerusi Biro Antarabangsanya Datuk Mustapha Yaakub berkata paling mendukacitakan dunia ialah sikap membisu Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), Liga Arab dan Dewan Kerjasama Kawasan Teluk (GCC).

"NATO telah menyalahgunakan pasport besar yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dengan mengambil tindakan ke atas rejim Presiden Libya Muammar Gaddafi atas alasan untuk menyelamatkan rakyat Libya sedangkan NATOlah yang melakukan pembunuhan itu," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Mustapha berkata perang saudara akan terjadi di Libya sekiranya pengganti Gaddafi tidak mempunyai karisma sebagai pemimpin penyatuan antara qabilah seperti mana ketidakmampuan pengganti bekas presiden Iraq Allahyarham Saddam Hussein menjadi pemimpin penyatuan antara Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah di negara itu.

"Perkasa menyeru Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya secara peribadi mencari jalan penyelesaian di Libya tanpa hanya bergantung kepada NATO yang terbukti menyalahgunakan Resolusi 1973 PBB.

"Resolusi itu digunakan semata mata mahu mengusir Gaddafi dan hanya menjadi alat kepada Amerika Syarikat dan United Kingdom," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain