suria

347 Kes Dagang Manusia Dibawa Ke Mahkamah Sejak 2008

KUALA LUMPUR: Sebanyak 347 kes bagi kesalahan pemerdagangan orang telah didakwa di mahkamah sejak 2008 hingga bulan lepas, dengan 34 kes diambil tindakan.

Setiausaha Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO), Nasirrahman Saad Khiruddin berkata sembilan kes dilepaskan tanpa dibebaskan, 259 kes masih dibicarakan dan 45 kes telah selesai.

Dalam tempoh tersebut 492 orang telah ditangkap di bawah kesalahan tersebut dengan 799 mangsa diselamatkan dan diberikan perintah perlindungan selama tiga bulan, dengan kebanyakan mereka terdiri daripada warga China dan Filipina, katanya.

"Kebanyakan mangsa diperdagangkan bagi tujuan eksploitasi seks komersil, buruh paksa, kesalahan di bawah akta Imigresen dan aktiviti pemerdagangan bayi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Imigran di sini, Selasa.

Beliau berkata, dari segi penyeludupan migran pula, seramai 281 migran ditahan yang melibatkan 14 kes dan 20 tangkapan bagi tempoh November tahun lepas hingga bulan Julai.

Pada masa ini, terdapat 75 mangsa lelaki, 43 mangsa wanita dan tujuh orang kanak-kanak ditempatkan di rumah perlindungan kerajaan sekitar Kuala Lumpur, Melaka dan Sabah, katanya.

Beliau juga berkata MAPO kini dalam usaha memperkemaskan sistem pengendalian kes berkaitan aktiviti jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran yang semakin membimbangkan di negara ini.

"Seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 telah digubal tahun lepas bagi menangani kedua-dua jenayah ini secara efektif," katanya.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga RM1 juta sekiranya disabit bersalah, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain