suria

2 Lelaki Ditahan, Polis Percaya Selesai Kes Samun

PETALING JAYA: Kegiatan dua lelaki menyamun rokok di kedai-kedai 24 jam seperti 7 Eleven di sekitar Petaling Jaya sejak enam bulan lepas, tumpas apabila mereka ditahan selepas menyamun sebuah 7 Eleven di Jalan Petaling di sini pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata lelaki berumur 31 dan 36 tahun itu ditangkap oleh dua anggota polis yang ketika itu melakukan rondaan di sekitar kawasan itu kira-kira 6.50 pagi.

"Seorang daripada suspek, yang menunggang motosikal, dilihat dalam keadaan mencurigakan di luar premis itu sebelum seorang lagi keluar menuju ke arah motosikal dan terus melarikan diri," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada kedua-dua anggota polis itu di pejabatnya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata dua anggota polis itu terus mengejar mereka dan menghimpit motosikal suspek sehingga terjatuh namun suspek yang cuba melarikan diri telah bergelut dengan kedua-dua polis tersebut.

Dalam pergelutan itu, seorang daripada anggota polis itu cedera di lutut kanannya dan semasa pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek itu, polis menemui sejumlah rokok dianggarkan bernilai RM 1,900, kata Arjunaidi.

"Kita percaya dengan penahanan kedua-dua mereka, polis menyelesaikan separuh daripada 40 kes samun kedai 24 jam di Lembah Klang yang menggunakan modus operandi menuju ke kaunter dan menyamun wang tunai serta rokok kerana rokok merupakan barang mudah lupus," katanya.

Beliau berkata seorang daripada suspek itu mempunyai 11 rekod lampau curi serta dadah dan mereka ditahan reman sehingga 27 Ogos ini untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan 397 kanun yang sama.

Mengenai kes samun sebuah cyber cafe di Kampung Baru Sungai Buloh di sini semalam, Arjunaidi berkata polis menahan tiga lagi lelaki yang dipercayai terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam kejadian itu.

Mereka ditahan di sekitar Sungai Buloh dan polis percaya kumpulan samun itu telah melakukan dua lagi samun cyber cafe di Sungai Buloh dan Kuala Selangor pada malam sebelum kejadian.

Beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan itu terlibat dalam banyak kes samun cyber cafe di sekitar Sungai Buloh sebelum ini.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi semalam, polis menembak mati seorang lelaki dan mencederakan seorang selepas mereka menyamun cyber cafe di Kampung Baru Sungai Buloh.

Suspek yang cedera ditahan di Damansara Damai selepas cuba melarikan diri daripada polis tetapi rakannya yang memandu kereta Naza Citra dapat melarikan diri. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zuraida Tak Gentar Saman KDN

Artikel Berikut

Artikel Lain