suria

PAS Mahu Jaminan PRU Selepas Syor Jawatankuasa Khas Diputuskan

PETALING JAYA: PAS bertegas menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak akan diadakan sehingga Jawatankuasa Khas Parlimen selesai mengemukakan pandangan mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya.

Malah komponen Pakatan Rakyat itu turut mengugut untuk tidak menyertai jawatankuasa berkenaan sekiranya tiada jaminan dibuat berhubung perkara itu.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, jaminan berkenaan perlu diberikan segera kerana PAS tidak akan menyertai sebuah jawatankuasa yang dibentuk secara sia-sia apabila pandangan yang bakal dikemukakan tidak dilaksanakan pada PRU akan datang.

"Perdana Menteri mesti menarik balik kenyataan beliau sebelum ini kerana ia sebenarnya telah membunuh niat kami untuk menyertainya.

"Beliau perlu beri peluang serta izinkan jawatankuasa itu bersidang dan jalankan tugas mereka," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa.

Jumaat lalu Perdana Menteri berkata, PRU boleh diadakan pada bila-bila masa dan ia tidak terikat dengan sebarang keputusan daripada Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen.

Katanya, tarikh sebenar bila pilihan raya umum hendak diadakan tiada sebarang kaitan dengan jawatankuasa tersebut, walaupun ia ditubuhkan bagi tujuan menambah baik sistem pilihan raya agar tidak timbul syak wasangka.

Sementara itu mengulas mengenai keputusan kerajaan menggunakan lapan tuntutan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai penambahbaikan sistem pilihan raya sedia sebagai rangka kerja jawatankuasa itu, Salahuddin berkata ia merupakan kejayaan besar Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu lagi, kerajaan akhirnya terpaksa akur kepada tuntutan rakyat untuk melihat pembaharuan terhadap sistem pilihan raya di negara ini.

"Suara Bersih didengari walaupun pada awalnya mereka dikatakan pertubuhan haram... tapi akhirnya kerajaan sudah buka mata," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain