Polis Temubual Semula Mangsa Simbah Asid Untuk Dapatkan Deskripsi Suspek - Semasa | mStar

Polis Temubual Semula Mangsa Simbah Asid Untuk Dapatkan Deskripsi Suspek

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengumpul maklumat terperinci termasuk menemubual semula mangsa simbah asid di Jalan Raja Laut, 8 Ogos lepas, mengenai deskripsi suspek.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata polis juga akan meneliti semula laluan mangsa sehingga ke tempat kejadian bagi mengesan kemungkinan terdapat saksi-saksi yang boleh membantu siasatan kes itu.

"Polis juga masih menunggu hasil analisa forensik mengenai jenis asid yang digunakan oleh suspek sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada mangsa. Sehingga kini pihak polis masih belum membuat sebarang tangkapan berhubung kejadian ini," katanya dalam laman sosial Facebook.

Mangsa yang berumur 20-an dan berkerja sebagai jurujual di sebuah pasar raya disimbah pada 8 Ogos lepas oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya semasa sedang berada di dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut.

Lelaki yang tidak dikenali itu telah membuka pintu kereta mangsa dan menyimbah mangsa dengan asid yang menyebabkan kulit muka mangsa melecur, sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta bersama dua lagi lelaki.

Sehubungan itu, Mohmad Salleh berkata kerjasama peniaga-peniaga yang menjalankan aktiviti penjualan asid diperlukan bagi membantu menyalurkan maklumat sekiranya mereka ada mengesan penjualan asid terhadap lelaki berumur antara 25 ke 30 tahun dalam tempoh sebelum 8 ogos. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain